Umum

Tujuh beradik yatim piatu beri kebahagiaan, peluang jadi ibu bapa kepada suami isteri

“Kehadiran mereka memberi kebahagiaan dalam hidup saya dan isteri kerana dapat merasai pengalaman menjadi ibu bapa untuk memberi kasih sayang sepenuh hati,” kata Anazul Ami Idris, 42, bapa saudara kepada tujuh adik-beradik yatim piatu.

Beliau berkata kehadiran mereka turut mengubat rindu pada adik perempuannya Norhapisah yang meninggal dunia bersama suaminya Kamal Hisham Mustaffa Mohammad dalam kemalangan tragis dua tahun lepas.

“Kebetulan saya dan isteri Mariani Othman, 42, masih belum dikurniakan cahaya mata. Kami berdua sangat bersyukur kerana dapat menjadi ibu bapa kepada mereka tujuh beradik.

“Alhamdulillah, sejak kami menjaga mereka dua tahun lepas, rezeki sentiasa ada untuk menampung perbelanjaan bulanan dan kami berazam mahu memastikan mereka mendapat pendidikan terbaik demi masa depan yang cerah untuk mereka,” katanya.

Beliau ditemui pemberita ketika menerima kunjungan Ahli Jawatankuasa Kelab Wartawan Media Terengganu (KAWAT) sempena program Sentuhan Kasih KAWAT di Bandar Al Muktafi Billah Shah di sini hari ini.

Pada pertemuan itu, Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) turut memberi sumbangan bakul makanan kepada keluarga tersebut yang kini menetap di Kampung Pasir Raja di sini.

Muhammad Danial, 14; Muhammad Danish Irfan, 13; Muhammad Darwish Iqbal, 11; Muhammad Dhiyauddin Aiman, 10; Muhammad Daim Amin, 8; Muhammad Dhiya Arsyad, 7 dan Dayyinah Athirah, 5, kehilangan ibu bapa mereka dalam kemalangan jalan raya di Jalan Felda Kerteh 2/3, dekat Ketengah Jaya, Dungun pada 4 Okt 2019.

Ketika ini, Anazul Ami menerima bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM800, manakala adik-beradik itu masing-masing menerima RM200 daripada Pertubuhan Kebajikan Sosial dan RM200 daripada Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia setiap bulan.

Sementara itu, Timbalan Presiden KAWAT Mohd Ishak Abdillah Ngah berkata program itu adalah sebahagian usaha pengamal media di Terengganu dalam menyantuni golongan tidak bernasib baik seperti anak yatim piatu, pesakit kronik dan ibu tunggal.

“Ini adalah tanggungjawab sosial pihak media kepada masyarakat kerana sebagai golongan yang sentiasa berada di lapangan, media juga mahu memainkan peranan untuk membantu golongan yang memerlukan.

“Hari ini, KAWAT menyampaikan sumbangan RM500 hasil derma daripada orang ramai yang bersimpati dengan nasib tujuh anak yatim piatu ini dan kami akan sentiasa memantau perkembangan mereka dari semasa ke semasa,” katanya.

— BERNAMA

PALING POPULAR

To Top