Khairy Jamaluddin mengkritik ucapan dasar Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi sebagai lompong kerana tidak menyentuh krisis yang melanda Malaysia dan usaha pemulihan negara secara mendalam, khasnya membabitkan pendidikan, kesihatan awam dan peralihan ke fasa endemik.
Sekiranya mahu mengembalikan mandat kepada rakyat semula katanya, Umno perlu mengemukakan “tawaran” menarik yang akan memberi harapan kepada orang ramai.
Beliau juga sinikal dengan dakwaan Zahid bahawa lebih 180 bahagian Umno mahu pemilihan parti diadakan selepas pilihan raya umum (PRU) dan mahu melihat semula usul sama ada apa yang dikatakan dalam ucapan dasar itu adalah benar.
“Saya rasa dari sudut parti, keinginan untuk mengembalikan mandat semula, mandat yang segar bagi membina sebuah kerajaan yang lebih stabil itu adalah jelas.
“Tetapi dari sudut kerajaan, dari sudut perdana menteri dan menteri-menteri daripada Umno, perkiraan kita juga adalah soal pemulihan negara yang sedang berlaku.
“Mungkin sedikit kelompongan dalam amanat tadi adalah tiada sentuhan dengan pemulihan yang sedang berlaku, pemulihan dan peralihan ke fasa endemik, pemulihan ekonomi yang kita sudah lihat sudah mula bibit-bibitnya,” katanya dalam wawancara bersama Astro Awani hari ini.
Khairy turut mempersoalkan tawaran BN kepada rakyat menjelang PRU.
Beliau memberi contoh krisis pendidikan yang menyaksikan wujudnya “lost generation” susulan pendidikan mereka terjejas dan enyelesaian akan dikemukakan oleh Umno bagi menanganinya.
“Jadi kita kena ada satu program, di mana mereka yang hilang peluang pendidikan selama dua tahun ini dari segi ‘catch-up’ kompetensi mereka, asas pendidikan mereka, jadi dasar ini perlu menjadi dasar Umno tentang bagaimana mahu merapatkan jurang pendidikan yang diperluaskan sebab Covid-19.”
Mengenai memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan dan pembangkang yang dianggap Zahid sebagai mahu “membunuh” Umno, Khairy berkata, MoU itu bertujuan menstabilkan negara untuk tujuan pemulihan.
“Yang kedua, bagi memastikan reformasi institusi dapat dilaksanakan, contohnya akta antilompat parti dan sebagainya. Jadi saya rasa ia tidak mengambil masa yang lama. Tetapi, biarlah ‘timing’ itu cantik bagi saya, sebagai menteri kesihatan, dari segi pemulihan negara kita, soal kesihatan awam.”
Bekas ketua Pemuda Umno itu berkata, Zahid juga tidak menyebut soal kesihatan dalam ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2021 itu.
“Pandemik ini, dengan izin, ‘has exposed the gap in our healthcare system’. Sebab itu, saya usulkan kertas putih dibawa ke Parlimen untuk kita meningkatkan jumlah pelaburan dalam kesihatan awam, bukan sahaja kerana pandemik, tapi masalah masyarakat menua dan penyakit tak berjangkit yang akan berlaku.
“Bila kita kata nak kembalikan mandat, ‘what is the solution?’ Sebelum kita selesaikan dalam parti, agak ‘premature’ untuk kita kata – inilah masa nak kembalikan mandat rakyat. Penyakit tak berjangkit…long Covid…era endemik ini bagaimana?” soalnya.
PRU15
Berhubung prestasi Umno dalam beberapa pilihan raya kecil (PRK) dan pilihan raya negeri (PRN) lalu, Khairy tidak mahu parti itu dilambung keangkuhan dan terasa hebat.
“Saya tak nak dalam Umno ini sebab beberapa keputusan PRN dan PRK, kita rasa kita hebat dan tahu segalanya. Ini kembali pada keangkuhan yang dulu. Kita perlu duduk bersama bincang tentang isu dan krisis yang dihadapi rakyat sekarang.”
Katanya, hanya 55% pengundi keluar mengundi pada PRN Johor.
“Kalau kita lihat kepada pengundi yang hadir, jelas kemenangan itu berpihak pada BN (Barisan Nasional). Tapi, ‘turnout’ tak tinggi macam PRU. Kita perlu betul-betul lihat kenapa mereka tak keluar? Kalau diadakan PRU, adakah mereka akan keluar? Kalau mereka keluar, mereka undi siapa? Ini benda yang kita tak boleh ‘take for granted’.”
Beliau bagaimanapun memahami aspirasi disuarakan Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan supaya PRU dipercepatkan ketika Umno kuat.
“Saya tahu timbalan presiden kata ‘strike while the iron is hot, of course the iron is hot now’, tapi dalam keadaan pertandingan apa? Pertandingan di mana sebahagian besar tak kembali untuk mengundi? Yang berada di perantauan dan negeri lain tak balik? Bukan saya kata tidak pada PRU, tapi saya lihat soal keyakinan kita sedikit ‘premature’.
“Kita kena betul-betul melihat, kaji, beri fokus pada kumpulan pengundi yang belum lagi yakin untuk mengundi, kalau lebih ramai Undi18 keluar, apa tawaran kita pada mereka? Takkan nak sentuh pasal (insentif) kerja 3D (kotor, sukar dan bahaya) sahaja, sudah tentu lebih daripada itu.”