Persatuan Belia Baru Universiti Malaya (UMANY) memohon maaf susulan penggunaan istilah ‘mansuhkan matrikulasi’ dalam cadangan reformasi pendidikan mereka yang menimbulkan salah faham.
Dalam kenyataan di Instagram rasmi @umany2u, UMANY menjelaskan maksud sebenar mereka bukanlah menghapuskan program matrikulasi, sebaliknya mencadangkan supaya ia digabungkan dengan peperiksaan STPM di bawah satu sistem bersepadu.
“Kami memohon maaf atas kekeliruan tersebut. Tujuan kami ialah mewujudkan peperiksaan bersepadu berasaskan sukatan STPM yang diiktiraf antarabangsa, supaya semua pelajar bersaing secara adil di platform sama,” menurut kenyataan itu.
UMANY menegaskan cadangan tersebut tidak ada kaitan dengan isu perkauman, sebaliknya bertujuan memperbaiki sistem kemasukan ke universiti agar lebih telus, adil dan menyeluruh.
Memorandum Kepada KPT
Cadangan berkenaan telah diserahkan melalui memorandum kepada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) pada 12 September lalu.
UMANY menekankan, peperiksaan bersepadu tetap mengambil kira keperluan golongan kurang bernasib baik bagi memastikan nilai keadilan sosial terpelihara.
“Kami percaya kerajaan boleh menetapkan kuota khusus untuk membantu golongan memerlukan, sambil memastikan pelajar cemerlang bersaing di landasan sama,” kata UMANY.
Reaksi Kementerian
Menurut UMANY, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek sebelum ini turut menyatakan bahawa cadangan peperiksaan bersepadu boleh dinilai secara menyeluruh. Ini menunjukkan kementerian tidak menolak cadangan tersebut, namun ia memerlukan penelitian dan kajian lebih mendalam.
UMANY optimis langkah itu dapat menyelesaikan kontroversi tahunan mengenai pengambilan pelajar ke universiti, dengan menjadikan proses kemasukan lebih adil dan setara untuk semua.
