Umum

Pelajar SPM dan STPM Terima Vaksin Bulan Depan!

Calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) bakal menerima suntikan vaksin akhir bulan depan.

Berita itu dikongsi Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr. Radzi Jidin menerusi hantaran di Facebook yang memaklumkan, cadangan tersebut dipersetujui Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) yang dipengerusikan Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin.

“Alhamdulillah, cadangan Kementerian Pendidikan agar pelajar kelas peperiksaan diberi keutamaan untuk divaksin telah dipersetujui CITF.

“Selepas tiga minggu, mereka akan menerima dos kedua,” katanya pada sidang media.

Semalam, Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) berkata akan memberi keutamaan kepada pelajar bakal menduduki peperiksaan diberi suntikan vaksin.

Ia susulan kelulusan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) bagi penggunaan vaksin Pfizer-BioNTech terhadap kanak-kanak berusia 12 tahun ke atas.

Selain itu Khairy juga menjelaskan, keutamaan vaksin turut diberikan kepada kira-kira 350,000 pelajar dan 47,000 guru yang terbabit kelas peperiksaan itu.

“Cadangan vaksinasi kepada pelajar kelas peperiksaan itu masuk akal kerana mereka boleh kembali ke sekolah secara berperingkat untuk persediaan menghadapi peperiksaan.

“Kami akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan untuk fokus kepada kelas peperiksaan terlebih dahulu termasuk guru, kakitangan sokongan dan pelajar terlibat,” katanya.

PALING POPULAR

To Top