Umum

“UMNO pun dah nak bungkus” – Adnan Yaakob

Kekalahan teruk Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu disifatkan sebagai petanda parti itu akan mengalami lebih banyak kekalahan selepas ini.

Bekas pemimpin UMNO, Datuk Seri Adnan Yaakob menggambarkan prestasi parti itu, yang diterajui oleh Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi semakin merudum.

Menerusi video berdurasi 25 saat yang tular sejak semalam, bekas Menteri Besar Pahang itu, atau lebih dikenali sebagai Tok Nan, lantang menyatakan pendapatnya.

“UMNO pun dah nak bungkus dah, bungkus lipat,” katanya dalam video tersebut.

Kenyataan itu dibuat selepas Adnan hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam dipercayai memberikan sokongan kepada Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin dilepas dan dibebaskan terhadap empat pertuduhan selepas Hakim Mahkamah Tinggi, Muhammad Jamil mendapati keempat-empat pertuduhan itu adalah kabur dan tidak berasas kerana ia tidak menyatakan butiran kesalahan dilakukan.

Sementara itu, kenyataan Adnan mendakwa UMNO akan ‘bungkus’ membuatkan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu tercengang sambil bertanya: “Macam mana jadi begitu?”

Adnan yang berkhidmat sebagai Menteri Besar Pahang paling lama iaitu selama 19 tahun kemudian menjawab secara ringkas: “Banyak ceritanya…”

Adnan bukan individu pertama yang menyuarakan perkara sedemikian.

Sebelum ini, bekas Pengerusi UMNO Terengganu, Tan Sri Idris Jusoh mahu Presiden UMNO, Ahmad Zahid bertanggungjawab atas kekalahan besar dialami BN dalam PRN di enam negeri pada 12 Ogos lalu.

Menerusi satu hantaran ringkas di laman sosial Facebooknya pada Ahad, Idris turut menggesa Ahmad Zahid meletak jawatan tertinggi yang disandangnya di dalam parti itu.

Manakala, pada Jun lalu bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin mendakwa UMNO akan ‘bungkus’ dalam PRN terutamanya selepas beberapa pimpinan parti itu yang dilihat tidak sehaluan dengan Ahmad Zahid, telah dipecat.

Pada PRN 12 Ogos lalu, BN hanya memenangi 19 daripada 108 kerusi yang ditandingi dengan dua kerusi di Selangor, Negeri Sembilan (14), Kelantan (satu); manakala dua di Pulau Pinang.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), UMNO di bawah pimpinan Ahmad Zahid juga kalah teruk apabila hanya menang 26 kerusi Parlimen.

Sumber: Astro Awani

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top