Buletin

Waktu UMNO terajui Johor sudah berlalu, PN pilihan terbaik – Muhyiddin

RAKYAT khususnya pengundi Johor diingatkan supaya tidak lagi terpengaruh dengan sejarah Johor kubu kuat UMNO dalam memilih kerajaan negeri baharu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) bulan depan kerana parti itu sudah tidak relevan di negeri itu.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, masa untuk UMNO sudah berakhir kerana parti itu telah kalah dan ditolak rakyat Johor pada pilihan raya lalu.

Katanya, kini rakyat Johor perlu memberi peluang kepada PN, sebuah gabungan parti politik yang terbukti mengambil berat nasib rakyat jelata seperti ditunjukkan ketika memegang tampuk pemerintahan negara selama 17 bulan bermula8 Mac 2020, menerajui negeri Johor.

“Saya minta orang Johor fikir semasak-masaknya.

Waktu untuk UMNO sudah berlalu. Jauh berlalu. UMNO sudah tidak boleh wujud di Johor walaupun Johor pernah mencipta sejarah sebagai kubu kuat UMNO kerana UMNO lahir di Istana Besar Johor Bahru.

“Tapi tuan-tuan kena ingat, itu UMNO dahulu. UMNO sekarang sudah koyak rabak. UMNO sekarang sudah tidak berupaya lagi. Nampak okay tapi dalam sudah penuh macam-macam barah, salah guna kuasa, rasuah dan sebagainya.

“Sebab itu PN yang saya bina dengan kerjasama Pas, Gerakan dan rakan di Sabah, Sarawak.. Ini adalah satu platform politik yang jauh lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan jentera pilihan raya kawasan Mersing di Felda Tenggaroh pada Rabu.

Turut hadir Presiden Gerakan yang juga Timbalan Pengerusi PN, Senator Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai; Ketua Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan; Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Hussin dan Ahli Parlimen Mersing, Datuk Dr. Abd. Latiff Ahmad.

Beliau mendakwa, idea pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk memberi laluan kepada PRN Johor adalah daripada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebelum mahu meneruskan agenda menguasai kerajaan Pusat pada PRU-15.

Menurutnya, beliau sudah mengetahui akan ada PRN sebelum DUN dibubarkan lagi walaupun tiada keperluan untuk berbuat demikian kerana pembangkang tetap menyokong kerajaan negeri Johor walaupun hanya mempunyai kelebihan satu kerusi.

“Saya tengok tidak ada masalah walaupun dengan majoriti satu kerusi. Saya lihat di Johor luar biasa kerana pembangkang pun sokong kerajaan negeri, bukan sahaja sokong Balanjawan Johor 2022 tapi sokong belia 18 tahun bertanding sebagai calon pilihan raya,” katanya.

Apabila mahu membubarkan DUN kata Muhyiddin, Menteri Besar, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad langsung tidak berbincang dengannya Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, PN mempunyai agenda besar untuk rakyat Johor sekiranya menang PRN Johor dan pengundi perlu memilih gabungan tersebut untuk masa depan yang cerah untuk negeri itu.

“Sebab itu slogan kita untuk PRN Johor ialah demi Bangsa Johor. PN akan usaha sedaya upaya mungkin bantu supaya Johor jadi negeri yang cemerlang dan gemilang. Rakyat Johor yang maju dan disegani,” katanya.

Tambah beliau, semua calon PN akan dipastikan bersih dan tidak terlibat rasuah atau salah guna kuasa dan mereka akan mengangkat sumpah Aku Janji Anti-Rasuah seperti yang dilakukan pada PRN Melaka.

PN katanya, mahu menubuhkan kerajaan yang bersih dan sebab beliau tidak bertanding dalam PRN Johor kerana mahu menumpukan usaha di peringkat Pusat dan jika PN menang PRU-15 berhasrat menjadi Perdana Menteri semula. –

Sumber: Satu Berita

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top