Umum

Kenapa tiba-tiba Zahid ‘serang’ MPN, Muhyiddin ?

SECARA tiba-tiba Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi ‘membidas’ Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) Tan Sri Muhyiddin Yasssin.

Bekas Timbalan Perdana Menteri yang diarah oleh Mahkamah Tinggi membela diri terhadap 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi itu berkata, Muhyiddin kekurangan idea untuk memulihkan ekonomi negara.

“Saya tidak pasti sama ada MPN akan memulihkan negara kita atau barangkali negara sebenarnya yang perlu memulihkan MPN. Dalam hal ini (memulihkan ekonomi), mereka yang menggalas tanggungjawab untuk mengepalai MPN wajib melihat semua ini sebagai satu keperluan mendesak. Carilah idea besar untuk membawa keluar negara kita daripada belenggu ekonomi dan trauma pandemik. Berhentilah menyalahkan semua pihak,” kata Ahmad Zahid dalam Facebook.

Penulis tidak pasti kenapa Ahmad Zahid ‘menyerang’ Muhyiddin. Adakah ia ada kaitan dengan PRN Johor kerana khabarnya, populariti bekas Perdana Menteri itu jauh mengatasi Ahmad Zahid?

Tetapi apa yang pasti, Ahmad Zahid boleh dianggap membuat kenyataan yang menampakkan hakikatnya beliau sendiri ‘kekurangan idea’ untuk bercakap soal ekonomi. Kalau setakat memetik beberapa berita berkaitan ekonomi negara jiran, Indonesia, rasanya  pelajar universiti pun boleh berbuat demikian.

Kata Ahmad Zahid, baru-baru ini Menteri Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Indonesia, Sandiaga Salahuddin Uno, telah berkongsi di halaman Instagramnya petikan berita “Bye-Bye Malaysia-Thailand, Ekonomi RI Sudah Pulih Duluan” yang dilaporkan portal Detik Finance 10 Feb lalu.

“Secara ringkasnya ia menunjukkan Indonesia sudah keluar daripada belenggu kelembapan ekonomi dan berada dalam jajaran kedudukan sebelum pandemik.

Keadaan itu sekali gus meletakkan Indonesia sebagai negara Asia tenggara yang berikutnya menyusul langkah Singapura, Korea Selatan, China dan Amerika Syarikat,” katanya

Kata Ahmad Zahid, kejayaan Indonesia bangkit itu disebabkan kerajaannya yang stabil dan kuat bagi membuat banyak keputusan besar dengan berkesan.

SEKEJAP! SEKEJAP!…sebelum Ahmad Zahid ‘membebel’ dengan lebih jauh lagi soal kestabilan, penulis mahu ingatkan beliau, Perdana Menteri Datuk  Seri Ismail Sabri Yaakob kelmarin sudah menegaskan;

‘’ Kita dah tunjuk (buktikan) kerajaan ini stabil, saya sendiri Perdana Menteri UMNO dan disokong oleh rakan-rakan parti yang lain,”

Maknanya kestabilan sudah ada selepas ia digugat oleh tindakan penarikan sokongan oleh 15 ahli Parlimen UMNO diketuai Ahmad Zahid kepada Muhyiddin sebagai Perdana Menteri sehingga beliau terpaksa meletakkan jawatan.

Penulis faham, Ahmad Zahid mungkin sebelum ini tidak ada masa untuk membaca berita memandangkan beliau terpaksa berulang alik ke mahkamah bagi menghadiri kes rasuah dan salah kuasanya tetapi mungkin pembantu-pembantu beliau boleh memaklumkan kepada beliau apa yang dilakukan oleh MPN dalam memulihkan ekonomi negara.

Paling terbaru, Muhyiddin memaklumkan MPN bersetuju dengan cadangan supaya pintu sempadan negara dibuka bagi mempercepatkan proses pemulihan ekonomi negara.

Pengumuman bekas Perdana Menteri itu mendapat reaksi positif daripada pakar ekonomi, pemain industri malah Bursa Saham juga menunjukkan reaksi yang sama. Bagaimanapun Ismail Sabri memaklumkan pembukaan sempadan negara pada 1 Mac seperti disyorkan MPN  belum boleh dilaksanakan kerana ia memerlukan penelitian lanjut.

Cadangan MPN itu juga masih belum dibincangkan dalam Kabinet, selain perlu dirujuk kepada Kementerian Kesihatan (KKM) bagi mendapatkan saranan dan nasihat.

Katanya, perkara itu juga bagi memastikan kesediaan negara untuk menerima pengunjung luar, selain keupayaan kerajaan dalam mengatasi COVID-19 dan varian Omicron.

Itulah antara usaha yang dilakukan oleh MPN untuk memulihkan ekonomi tetapi apa boleh buat Perdana Menteri sudah membuat ketetapan demikian.

Mungkin Ahmad Zahid sebagai Presiden UMNO boleh meminta kerajaan mempercepatkan pembukaan sempadan memandangkan ‘’bukankah kita harus belajar hidup bersama Covid-19 dan menuju ke fasa endemik’ sehinggakan PRN Johor tidak perlu ditangguhkan biarpun kes mencecah melebihi 20,000’?

Selain itu Ahmad Zahid rajin-rajinlah buka link di bawah untuk mengetahui bagaimana MPN mengemukakan syor kepada kerajaan dalam usaha memulihkan ekonomi dalam mesyuaratnya pda 17 Disember lalu.

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/12/900051/majlis-pemulihan-negara-kemuka-3-syor-kepada-kerajaan

Muhyiddin berkata, tiga syor itu dibuat selepas meneliti tiga pembentangan oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaludin dan Jawatankuasa Tindakan Khas Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) adalah, berkaitan suntikan dos penggalak, bantuan kepada sektor PKS serta isu kekurangan tenaga kerja.

  • Syor pertama, Kementerian Kesihatan (KKM) perlu memperkasakan kempen kesedaran ujian saringan COVID-19 kendiri dan mendapatkan suntikan dos penggalak sebagai langkah berwaspada dalam penularan virus COVID-19.
  • Syor kedua, setelah meneliti cadangan-cadangan Jawatankuasa Tindakan Khas PKS ini dan secara dasarnya, majlis bersetuju supaya ia disusuli lebih lanjut, malah berpandangan bahawa cadangan-cadangan bantuan kepada sektor PKS perlu lebih bersasar dengan memberi keutamaan kepada sektor-sektor yang kritikal.
  • Syor ketiga pula, isu kekurangan tenaga kerja sering dibangkitkan, maka majlis mengesyorkan agar pengambilan tenaga pekerja asing juga perlu diperluaskan untuk sektor-sektor ekonomi, selain peladangan untuk memastikan sektor-sektor ekonomi yang sudah dibuka semula ini dapat beroperasi dengan kapasiti pra-pandemik.

Seperkara lagi, MPN dianggotai oleh pakar daripada pelbagai bidang, kalau Ahmad Zahid nak tahu siapa mereka , beliau boleh baca di link ini https://www.astroawani.com/berita-malaysia/pm-pengerusikan-mesyuarat-majlis-pemulihan-negara-bersama-pakar-pelbagai-bidang-312678.

Sudah pasti mereka mempunyai pandangan dan idea bagaimana hendak memulihkan negara tetapi segala cadangan atau syor boleh dilaksanakan atau tidak, ia terserah kepada kerajaan…kalau dalam bab keluarkan RM10,000 simpanan KWSP, Ahmad Zahid bagai ‘nak rak’, tak kanlah beliau tidak boleh memainkan peranan untuk meminta Perdana Menteri melaksanakan syor-syor oleh MPN termasuk paling penting pembukaan semula sempadan?

Kalau Ahmad Zahid rasa UMNO mempunyai pandangan bagaimana mahu memulihkan ekonomi, kemukakan sahaja kepada Perdana Menteri yang juga daripada parti itu.

Lagi ramai memberi idea, lebih cepat kita memulihkan ekonomi negara, tetapi malangnya kita berada dalam ‘wabak’ politiking yang tidak berkesudahan sehingga MPN pun mahu dipolitikkan walaupun dalam setiap mesyuarat pasti ada menteri-menteri UMNO ‘yang hebat-hebat’ menghadirinya – adakah apabila Ahmad Zahid kata, Muhyiddin ‘kekurangan idea’, menteri-menteri itu juga ‘kekurangan idea’?

Penulisan berpendapat, tidak payahlah Ahmad Zahid cuba mencari kesalahan Muhyiddin lagi, tiada apa yang perlu dirisaukan kerana bukankah Ahmad Zahid berkata, ‘’ UMNO, BN sedang melakukan kebangkitan’’?, Jadi sama-samalah kita lihat sejauh manakah kebangkitan itu kerana bimbang jugak nanti ‘UMNO sudah pulih,  pemimpin parti itu pula yang harus dipulihkan’.

Sumber: WartaRakyat

PALING POPULAR

To Top