Umum

Zahid dapat kebenaran khas lawat Najib dalam penjara

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail hari ini memberitahu, dia dimaklumkan bahawa Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi melawat Najib Razak di Penjara Kajang baru-baru ini.

Menjawab soalan media di parlimen, Saifuddin berkata sebelum itu pihak penjara terbabit memberi pemakluman mengenai lawatan timbalan perdana menteri terbabit.

Katanya ada dua individu yang berhak memberikan kebenaran khas mengenai lawatan ke atas banduan, iaitu menteri dalam negeri dan Komisioner Jeneral Penjara.

Menurut senator terbabit sebelum Ahmad Zahid menemui Najib, dia dimaklumkan oleh pegawai tertinggi Jabatan Penjara Malaysia Nordin Muhamad.

Kebenaran khas tersebut tambah Saifuddin diberikan mengikut Peraturan 86 dan Peraturan 99 dalam Peraturan Penjara 2000 yang turut melibatkan kebenaran membawa makanan serta tempoh pertemuan berlangsung.

“KP (Komisioner Jeneral) Penjara maklumkan pada saya… (justeru) saya tau.

“Prosedur seterusnya (untuk kebenaran khas tersebut) ialah oleh KP Penjara. Yang penting dia maklumkan kepada saya, saya maklum.

“Soal bagaimana dia maklumkan dan sebagainya – itu hanya prosedur,” katanya.

Semasa berucap dalam Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini, Ahmad Zahid memberitahu dia bertemu dengan Najib di Penjara Kajang dan sempat menikmati makanan kegemaran bekas perdana menteri itu.

Kata Ahmad Zahid lagi, dia menghabiskan masa selama kira-kira dua jam bersama Najib.

Sumber: Malaysiakini

PALING POPULAR

To Top