Umum

108 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan di pasar Selayang

Gambar Facebook

Seramai 108 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan dalam satu serbuan Operasi Khas Op Taring II di Pasar Harian Selayang awal pagi tadi.

Dalam operasi kira-kira 3 pagi itu, warga asing yang ditahan terdiri daripada 50 lelaki dan 2 wanita Indonesia, 33 lelaki dan 2 wanita Myanmar, 12 lelaki warga India, 7 lelaki Bangladesh serta seorang lelaki, masing-masing warga Nepal dan Pakistan.

Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur Allaudeen Abdul Majid, operasi itu bertujuan bagi membanteras pelbagai jenayah yang berlaku di kawasan sekitar Pasar Harian Selayang terutama melibatkan pendatang tanpa izin (PATI).

Beliau juga berkata operasi itu turut memfokuskan kepada membanteras sebarang kegiatan tidak sihat di kawasan tersebut.

“Semua warga asing yang ditahan diserahkan ke Jabatan Imigresen Malaysia di bawah Seksyen 6 (1)(c) dan Seksyen 15 (1)(c) Akta Imigresen 1959 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah dan menetap lebih masa,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata pihak polis bersama-sama jabatan dan agensi penguatkuasaan lain akan terus menjalankan operasi khas seperti ini pada masa akan datang bagi membanteras jenayah.

“Orang ramai dialu-alukan untuk menyalurkan maklumat berhubung kegiatan yang mencurigakan atau kehadiran pendatang tanpa izin di kawasan masing-masing kepada pihak polis.

“Polis akan terus menjalankan tugas dan tanggungjawab bagi menjaga serta mengawal keselamatan dan ketenteraman negara,” katanya.

PALING POPULAR

To Top