Umum

Skim pelaburan kripto tak wujid, wanita warga emas ditipu RM10juta

Gambar Hiasan

Seorang wanita warga emas terpedaya dengan skim pelaburan berasaskan mata wang kripto yang tidak wujud kerugian lebih RM10 juta.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Ramli Mohamed Yoosuf, pesara berusia 80 tahun itu membuat laporan polis semalam memaklumkan telah menyertai skim pelaburan itu setelah dimasukkan ke dalam WhatsApp group yang mempromosikan skim pelaburan tersebut.

“Melalui kumpulan sembang itu, pengadu berurusan dengan seorang lelaki yang kononnya akan mendahulukan wang untuk pembelian kripto dan pengadu diminta membuat bayaran balik setelah pembelian kripto itu berjaya,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata pengadu terpedaya dengan helah itu sebelum melakukan 13 transaksi bayaran ke beberapa akaun bank atas nama lapan syarikat yang berbeza berjumlah RM10 juta.

Menurut Ramli, wanita itu mulai sangsi terhadap kesahihan pelaburan berkenaan apabila masih diminta membuat beberapa bayaran tambahan atas pelbagai alasan.

Ramli berkata kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan pihaknya menasihatkan orang ramai terutama warga emas supaya lebih berwaspada serta tidak mudah percaya terhadap tawaran pelaburan dalam talian yang dipromosikan melalui laman sosial.

“Lakukan semakan dengan agensi yang berkaitan termasuk Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia sebelum mengambil keputusan untuk menyertai skim pelaburan,” katanya.

Beliau berkata untuk sebarang nasihat atau maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi balai polis berhampiran atau mengemukakan pertanyaan kepada CCID Infoline melalui talian 013-2111 222.

PALING POPULAR

To Top