Umum

11 joki parkir telah dilesenkan untuk mengutip bayaran selepas waktu pejabat

Gambar Hiasan

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menjelaskan bahawa bukan semua tempat letak kereta di bawah seliaannya boleh digunakan tanpa bayaran selepas waktu pejabat.

Menerusi satu kenyataan, DBKL memaklumkan terdapat 11 parkir kereta yang telah dilesenkan sebagai joki parkir di sekitar bandar raya ini.

“Berkenaan aduan yang tular menerusi media sosial dan media elektronik berkenaan ulat parkir mengenakan caj parkir di Bukit Bintang, siasatan mendapati tapak yang dimaksudkan adalah tempat letak kereta terbuka di tepi lorong Off Jalan Sultan Ismail.

“Tapak ini merupakan petak parkir di bawah kawalan DBKL dan dikenakan bayaran parkir. Bayaran dikenakan pada waktu pejabat iaitu hingga 5 petang.

“Pada masa sama, DBKL telah menyewakan urusan parkir ini kepada syarikat persendirian untuk menguruskan lapan petak letak kereta secara joki yang beroperasi selepas waktu pejabat,” menurut kenyataan itu.

DBKL turut memaklumkan pihak operator joki juga telah diarahkan meletakkan papan tanda makluman operasi parkir kereta joki di tapak berkenaan dengan segera bagi memastikan orang awam maklum mengenai perkhidmatan itu.

Terdahulu, telah tular sebuah video di media sosial seorang pengguna memaparkan kesan calar pada bahagian pintu keretanya dipercayai dilakukan ulat parkir kerana enggan membayar caj parkir sebanyak RM15.

Dalam pada itu, DBKL memaklumkan pihaknya mengambil serius mengenai sindiket ulat parkir di sekitar ibu negara dan sejak tahun lepas sehingga kini, sebanyak 75 ulat parkir telah diambil tindakan di bawah Seksyen 50(3) dan Seksyen 119(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Pasukan DBKL akan melakukan pemantauan dan penguatkuasaan yang lebih kerap di kawasan tumpuan ulat parkir iaitu di Bukit Bintang, Jalan Beremi dan Jalan Walter Granier bagi membanteras ulat parkir.

“DBKL juga ingin menasihatkan orang awam supaya menggunakan pengangkutan awam bagi mengurangkan penggunaan kenderaan persendirian terutama di kawasan pusat bandar bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas serta membantu usaha DBKL mengurangkan pelepasan karbon,” katanya.

PALING POPULAR

To Top