Umum

16 peruntukan Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan terbatal

Gambar Facebook

Mahkamah Persekutuan pada Jumaat, mengisytiharkan 16 daripada 18 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 adalah terbatal dan tidak sah.

Keputusan demikian diputuskan oleh panel hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat selepas membenarkan petisyen peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman selaku pempatisyen bagi mencabar 18 peruntukkan enakmen tersebut.

Keputusan majoriti dicapai dengan 8 hakim menyokong pempetisyen itu manakala seorang menentang.

Selain Tengku Maimun, hakim lain yang menyokong ialah Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim Besar Malaya, Tan Sri Mohamad Zabidin Mohd Diah, serta Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri P Nalini, Datuk Mary Lim Thiam Suan, Datuk Harmindar Singh Dhaliwal, Datuk Nordin Hassan dan Datuk Abu Bakar Jais.

Sementara Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abdul Rahman Sebli menentang petisyen berkenaan.

Dengan keputusan itu, Badan Perundangan Negeri Kelantan tidak lagi mempunyai bidang kuasa menggubal 16 peruntukan undang-undang tersebut.

Terdahulu, peguam, Nik Elin Zurina, 62, dan Tengku Yasmin Natasha Tengku, 26, memfailkan petisyen terhadap Kerajaan Negeri Kelantan dalam usaha mengisytiharkan 18 peruntukan kesalahan dalam enekmen itu, terbatal dan tidak sah.

Enakmen yang disebutkan adalah:

Seksyen 11: Memusnahkan atau mencemarkan tempat ibadat – tidak sah

Seksyen 13: Menjual atau memberikan anak kepada bukan Islam atau Muslim yang tercela dari segi moral- sah

Seksyen 14: Liwat – tidak sah

Seksyen 16: Persetubuhan dengan mayat – tidak sah

Seksyen 17: Hubungan seksual dengan bukan manusia – tidak sah

Seksyen 30: Perkataan yang boleh memecahkan keamanan – sah

Seksyen 31: Gangguan seksual – tidak sah

Seksyen 34: Memiliki dokumen palsu, memberikan keterangan, maklumat atau kenyataan palsu – tidak sah

Seksyen 36: Apa-apa yang memabukkan – tidak sah

Bahagian 39: Mengurangkan timbangan, ukuran dan berat – tidak sah

Seksyen 40: Melaksanakan transaksi yang bertentangan dengan ‘hukum syarak’ (undang-undang syariah) – tidak sah

Seksyen 41: Melaksanakan urus niaga melalui riba – tidak sah

Seksyen 42: Penyalahgunaan label dan konotasi halal – tidak sah

Seksyen 43: Menawarkan atau menyediakan perkhidmatan maksiat – tidak sah

Seksyen 44: Tindakan persediaan menawarkan atau menyediakan perkhidmatan maksiat – tidak sah

Seksyen 45: Perbuatan maksiat sebagai persediaan – tidak sah

Seksyen 47: Perbuatan sumbang mahram – tidak sah

Seksyen 48: Muncikari (ibu/ bapa ayam atau perantara pelacuran) – tidak sah

 

Pada 17 Ogos 2023, mahkamah mendengar penghujahan peguam, Datuk Malik Imtiaz Sarwar mewakili kedua-dua pempetisyen ini manakala peguam, Datuk Kamaruzaman Muhammad Arif bagi pihak Kerajaan Negeri Kelantan selaku responden tunggal

Turut peguam, Yusfarizal Yussoff selaku peguam pemerhati bagi Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).

Semasa hujahan, Malik Imtiaz berkata, Badan Perundangan Negeri Kelantan tiada kuasa untuk menggubal peruntukan undang-undang tersebut kerana 18 peruntukan itu bertindih dengan undang-undang Persekutuan yang turut meliputi kesalahan sama.

Beliau berkata, peruntukan tersebut juga tidak sah kerana peruntukan undang-undang jenayah yang dipertikaikan itu merupakan bidang kuasa Parlimen.

Sementara itu, Kamaruzaman berhujah, peruntukan yang dicabar itu merupakan kesalahan yang dilakukan terhadap perintah agama Islam yang termasuk di bawah Butiran 1, Senarai Negeri, bukan undang-undang jenayah yang tertakluk kepada Butiran 4(h), Senarai Persekutuan.

 

Berita Menyusul

 

 

PALING POPULAR

To Top