Umum

Op Khas Terminal, 4 pemandu didapati guna bahan terlarang, 13 bas dilarang jalan

Gambar Facebook

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah melarang sebanyak 13 buah bas ekspres berada di jalan raya selepas didapati tidak mencapai standard keselamatan ditetapkan.

Menurut Pengarah Kanan Penguat kuasa JPJ, Lokman Jamaan, tindakan tersebut diambil menerusi pemeriksaan Op Khas Terminal sempena Tahun Baharu Cina dan cuti persekolahan.

Mengulas lanjut Lokman berkata, pihaknya telah melakukan pemeriksaan terhadap 2,801 buah bas di 28 terminal di seluruh negara sejak 1 Februari lepas hingga semalam.

Beliau berkata demikian dalam sidang media Op Khas Terminal, di Terminal Bersepadu Selatan sambil menyatakan operasi itu dijalankan bagi memastikan bas yang akan digunakan mampu beroperasi dengan lancar tanpa sebarang masalah.

“Dalam operasi ini, sebanyak 44 buah bas telah diambil tindakan dengan 13 daripadanya tidak dibenarkan berada di atas jalan raya kerana tahap keselamatan sangat rendah serta tidak mencapai standard keselamatan yang ditetapkan.

“JPJ juga menjalankan ujian saringan urin terhadap 187 pemandu bas dan daripada jumlah itu 4 pemandu didapati menggunakan barang terlarang. Kes telah diserahkan kepada Agensi Antidadah Kebangsaan untuk tindakan lanjut,” katanya.

“Selain itu, katanya, pihaknya juga menjalankan pemeriksaan teknikal terhadap tayar, sistem brek dan peralatan keselamatan bas-bas berkenaan bagi memastikan kelancaran perjalanan selain penumpang mendapat perkhidmatan pengangkutan awam yang selamat serta selesa ke destinasi yang dituju.

“Pemeriksaan buku log juga dibuat untuk memantau pergerakan kenderaan terbabit berada dengan sempurna,” katanya.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai sebarang masalah berkaitan supaya melaporkan aduan secara terus atau masa nyata (real-time) dengan menggunakan Aplikasi MyJPJ e-aduan@jpj atau e-mel [email protected] beserta dengan butiran lengkap aduan.

 

PALING POPULAR

To Top