Umum

1,878 Komuniti Madani terima geran tahunan RM10,000

Gambar Facebook

Geran sebanyak RM10,000 diperuntukan untuk setiap Komuniti Madani di seluruh negara, iaitu RM3,000 bagi pentadbiran dan RM7,000 untuk aktiviti dan program.

Menurut Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, setakat ini, kerajaan menyalurkan geran pentadbiran RM3,000 terlebih dahulu kepada setiap Komuniti Madani untuk diguna bagi menggerakkan komuniti dari segi pentadbiran dan penyeliaan.

“Nanti melalui pegawai-pegawai penerangan daerah, kita akan aktifkan Komuniti Madani sekali dengan peruntukan RM7,000 untuk melaksanakan program di akar umbi. Jika buat kerja dengan baik, insya-Allah kita boleh mohon dengan Kementerian Kewangan bagi kenaikan tahun depan,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan watikah penubuhan rasmi Komuniti Madani kepada ketua dan wakil komuniti di seluruh Pulau Pinang.

Kata beliau, terdapat 1,878 Komuniti Madani di seluruh negara termasuk 120 yang ditubuhkan di Pulau Pinang membabitkan 40 kawasan Dewan Undangan Negeri yang berperanan sebagai penghubung antara kerajaan dan rakyat. Komuniti Madani merupakan jentera komunikasi bagi menyalurkan maklumat kepada masyarakat selain mendapatkan maklum balas rakyat di peringkat akar umbi, ujarnya.

Fahmi berharap Komuniti Madani dapat menangani isu fitnah serta berita palsu secara lebih terancang dan sebagai usaha kerajaan untuk memastikan media bebas membuat pelaporan tanpa sebarang kekangan.

 

PALING POPULAR

To Top