Seramai 1,912 calon simpanan pegawai perubatan, pergigian dan farmasi diserap ke jawatan tetap selepas Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) meluluskan pelantikan itu pada bulan lalu.
Pelantikan itu dibuat bagi mengisi kekosongan jawatan tetap di Kementerian Kesihatan (KKM)
KKM dalam kenyataan berkata pelantikan itu melibatkan 1,226 calon simpanan pegawai perubatan, 216 pegawai pergigian dan 470 pegawai farmasi
Kenyataan itu turut berkata, “pelantikan ini adalah selaras dengan baki kekosongan sedia ada dan kelulusan perjawatan tetap oleh agensi pusat pada 2023.”
Katanya lagi, urusan tawaran pelantikan tetap dan penerimaan tawaran oleh calon simpanan sedang dilaksanakan menerusi Sistem Tawaran Pelantikan SPA (MySTP SPA) bermula 2 Oktober.
Menurutnya, semua calon diberi ruang untuk memilih sendiri penempatan secara dalam talian menerusi sistem ‘e-placement’.
Sistem e-housemen untuk pegawai perubatan, sistem e-dentist untuk pegawai pergigian dan sistem e-pharmacist untuk pegawai farmasi.
Bagaimanapun, jumlah kekosongan jawatan di Lembah Klang dan wilayah tertentu sangat terhad berdasarkan kepada pengisian semasa.
Tarikh pilihan penempatan bagi pegawai perubatan ditetapkan pada 9 hingga 14 Oktober, pegawai pergigian pada 9 hingga 11 Oktober, dan bagi pegawai farmasi pada 16 hingga 19 Oktober.
“Calon akan menerima pemakluman penempatan di peringkat fasiliti Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) mulai 14 November, sementara tarikh lantikan tetap calon berkuat kuasa pada tarikh lapor diri iaitu 18 Disember,” jelasnya.