Umum

Lelaki didenda RM12,000 atas kesalahan memperdaya wanita untuk hubungan seks

Seorang lelaki yang berusia 33 tahun telah didenda RM12,000 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh atas pertuduhan memiliki bahan lucah dan memperdaya dua wanita dengan tawaran pinjaman wang sehingga menyebabkan mangsa melakukan hubungan seks dengannya di sebuah hotel di Bandaraya Melaka.

Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Ahmad Saifullah Abdul Khalid membuat pengakuan bersalah selepas tiga pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didapati memperdaya seorang gadis berusia 19 tahun dengan tawaran wang sebanyak RM300 sehingga mendorong mangsa melakukan hubungan seks dengannya.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh turut melakukan kesalahan sama terhadap seorang wanita berusia 33 tahun dengan tawaran pinjaman wang sebanyak RM2,000.

Kedua-dua kesalahan itu masing-masing dilakukan di sebuah hotel di Bandaraya Melaka dan di sebuah rumah di Bukit Baru, Melaka Tengah pada 21 Mac dan 1 Oktober 2023.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 5 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didapati memiliki 7 keping gambar lucah di dalam telefon bimbitnya.

Bagi pertuduhan ini, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 292 (a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga 3 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Mengikut fakta kes, tertuduh telah mengajak kedua-dua mereka melakukan hubungan seks dengan berjanji akan memberikan pinjaman wang.

Namun, wang yang dijanjikan tidak diberikan kepada kedua-dua mangsa menyebabkan mereka bertindak membuat laporan polis.

Sehubungan itu, Timbalan Pendakwaraya Nor Asnini Kamarudin, yang mengendalikan pendakwaan, memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan juga masyarakat.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan memandangkan dia menanggung kedua ibu bapa, isteri yang sedang belajar serta dua anak yang masih kecil.

Mahkamah menetapkan hukuman denda RM3,500 bagi setiap pertuduhan pertama dan kedua serta RM5,000 bagi pertuduhan ketiga.

PALING POPULAR

To Top