Umum

2 ceramah Ustaz Wadi Annuar di Selangor dibatalkan

Penceramah bebas, Mohamad Wadi Annuar memaklumkan dua ceramahnya di Selangor pada 10 dan 11 Mac ini dibatalkan.

Beliau yang dikenali sebagai Ustaz Wadi Annuar berkata, dua lokasi itu ialah Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz, Shah Alam dan Padang Astaka Tanjung Karang, Selangor.

Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan sebab pembatalan ceramah berkenaan.

“Dimaklumkan bahawa semua ceramah al-Fadhil Ustaz Wadi Annuar bertempat di Negeri Selangor telah dibatalkan.

“Manakala ceramah di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya akan dijalankan seperti biasa. Segala kesulitan amat dikesali,” katanya menerusi perkongsian di Facebook.

“Segala kesulitan amat dikesali. Semoga ALLAH SWT memberikan pahala kepada semua yang berniat untuk hadir majlis ilmu,” katanya dalam siaran di Facebook pada Ahad.

Sebelum ini, pembatalan ceramah penceramah popular, Ustaz Azhar Idrus di Masjid Diraja Tengku Ampuan Jemaah Bukit Jelutong mendapat perhatian apabila Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) membatalkan kuliah Maghrib di masjid berkenaan susulan tidak mempunyai tauliah mengajar agama di Selangor.

Menurut Pengarah JAIS, Datuk Shahzihan Ahmad, ketetapan itu tertakluk kepada undang-undang dan peraturan berkuat kuasa di Selangor.

Pada 26 Februari, meskipun terpalit kontroversi tersebut, namun Kuliah Maghrib Perdana oleh Ustaz Azhar Idrus di Masjid Ar-Rahimah Kampung Pandan itu dihadiri oleh ribuan jemaah.

PALING POPULAR

To Top