KUALA LUMPUR: Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) terus menunjukkan perkembangan memberangsangkan apabila sebanyak 64.2 peratus atau lebih 15.03 juta individu daripada populasi dewasa di seluruh negara sudah lengkap menerima dua dos vaksin COVID-19 setakat Selasa.

Penerima dos pertama daripada golongan dewasa pula adalah sebanyak 84.3 peratus atau lebih 19.74 juta orang, menurut Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) menerusi perkongsian infografik di Twitter.

Bagi keseluruhan populasi rakyat Malaysia pula, sebanyak 46 peratus sudah lengkap divaksinasi, manakala 60.5 peratus lagi sudah mendapatkan suntikan dos pertama.

Jelas JKJAV, jumlah kumulatif pemberian vaksin menerusi PICK setakat semalam sebanyak 34,752,340 dos.

Labuan terus merekodkan kadar pemberian dos vaksin tertinggi dengan 94 peratus atau 64,415 orang daripada populasi dewasa sudah lengkap dua dos vaksin.

Ini diikuti Lembah Klang dengan 92 peratus (5,688,302 orang), Sarawak 87.1 peratus (1,778,498 orang), dan Negeri Sembilan 78.8 peratus (642,142 orang), Perlis 66.5 peratus (120,432 orang), Melaka 58.4 peratus (395,793 orang), manakala Pulau Pinang 56.6 peratus (773,772 orang).Sementara itu, jumlah pemberian vaksinasi harian pada Selasa menunjukkan penurunan berbanding Isnin iaitu daripada 361,381 dos kepada 261,768 .

Ia masing-masing melibatkan membabitkan 115,473 dos pertama dan 146,295 dos kedua.

PICK dilancarkan pada 24 Februari lalu bagi menggerakkan negara ke arah mencapai matlamat imuniti kelompok COVID-19.

Sumber: Astro Awani