Umum

Ambil vaksin sebagai ikhtiar

KUALA LUMPUR: Warga sekolah termasuk pelajar disarankan mengambil suntikan vaksin sebelum sesi persekolahan dibuka Oktober ini dalam usaha membendung jangkitan COVID-19.

Yang Dipertua Majlis Pengetua Sekolah Malaysia (MPSM), Mohd Ariffin Ab Rahman, berkata pengambilan vaksin untuk pelajar tidak wajib berikutan tiada undang-undang atau dasar menyatakan mereka wajib mendapatkannya.

Bagaimanapun, katanya, pengambilan vaksin dilihat satu ikhtiar berikutan sekolah adalah kawasan tumpuan kerana dihadiri guru dan pelajar yang menjalankan tanggungjawab masing-masing.

“Dari segi teknikal, kita menyarankan pelajar dan ibu bapa terbuka untuk mendorong anak mereka mendapatkan suntikan vaksin sebelum sesi persekolahan dibuka Oktober ini.

“Ini satu daripada usaha kita membendung penularan pandemik COVID-19, seterusnya memudahkan kelancaran sesi persekolahan terutama bagi pelajar Tingkatan Lima dan Enam yang hanya berbaki tidak sampai enam bulan sebelum menduduki peperiksaan terbesar dalam hidup mereka,” katanya kepada BH.

Beliau berkata, pihaknya berharap proses vaksinasi bagi mereka yang terbabit di sekolah seperti guru, pelajar, kakitangan sokongan sekolah, pengurusan kantin, pengurusan makanan bermasak di asrama dan pengawal keselamatan dipercepatkan.

Katanya, ada golongan yang menolak dan itu sememangnya hak mereka tetapi ia boleh menambah kesukaran kepada banyak pihak.

“Ya, itu hak masing-masing tetapi perlu diingat apabila membabitkan pengurusan, ia menambah tanggungjawab pelbagai pihak termasuk ujian calitan kerap berterusan dan pengasingan waktu belajar.

“Ini juga mempengaruhi ibu bapa yang risau untuk menghantar anak mereka ke sekolah memandangkan ada pelajar yang sengaja tidak mendapatkan vaksin,” katanya.

Mengulas mengenai edaran borang kepada penjaga dan pelajar borang setuju vaksinasi, Mohd Ariffin berkata, ia sedang dijalankan secara berperingkat bermula di Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

“Difahamkan, edaran borang kini mengikut negeri yang mempunyai lebihan vaksinasi.

“Di negeri lain, kami masih menanti dan berharap guru dapat memenuhi dua suntikan vaksinasi dengan segera kerana bukan sahaja ia dapat menyakinkan ibu bapa untuk menghantar anak ke sekolah tetapi melindungi golongan itu yang menjadi barisan hadapan di sekolah,” katanya.

Sumber: Berita HarianĀ 

PALING POPULAR

To Top