Polis Selangor telah menerima 44 laporan berkaitan isu tunggakan gaji daripada pekerja syarikat penerbangan MYAirline yang sedang menghadapi penggantungan operasi sejak 12 Oktober lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan jumlah laporan itu hasil semakan bagi tempoh sejak 1 Oktober lalu hingga jam 1 petang 1 November 2023.
Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya menerima laporan tertinggi berkaitan isu berkenaan iaitu sebanyak 18 laporan, IPD KLIA sebanyak 7 laporan, IPD Sepang dan IPD Petaling Jaya masing-masing 6 laporan.
Manakala IPD Serdang menerima 3 laporan , IPD Shah Alam 2 laporan,IPD Kajang dan IPD Kuala Langat masing-masing 1 laporan.
Menurutnya, laporan-laporan itu dibuat susulan pekerja MYAirline mendakwa tidak berpuas hati kerana gaji mereka tidak dibayar.
“Kes dirujuk ke mahkamah untuk pengadu mengambil tindakan sivil,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan kira-kira 20 pekerja MYAirline membuat laporan polis di IPD Sepang diiringi Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Kamarul Baharin Mansor pada hari Selasa.
Kamarul Baharin dilaporkan berkata, laporan polis itu dibuat kerana MYAirline didakwa gagal membuat pembayaran gaji serta tidak membuat caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Perkeso sejak bulan Mei lalu.