Umum

49 kedai makanan tawar Menu Rahmah Non Halal di Johor

Sebanyak 49 kedai di Food Street Taman Johor Jaya, di sini, menjadi antara yang terawal menawarkan Menu Rahmah Non Halal, bagi komuniti bukan Islam di negeri itu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, inisiatif bagi komuniti bukan Islam itu, dilaksanakan oleh Persatuan Peniaga Makanan dan Minuman Taman Johor Jaya.

“Inisiatif Menu Rahmah diperluaskan bagi makanan komuniti bukan beragama islam di Food Street Taman Johor Jaya, Johor Bahru.

“Untuk makluman, terdapat 49 buah kedai yang terlibat dalam menawarkan Menu Rahmah Non Halal dengan antara menu ditawarkan seperti makanan laut, kepak ayam, mi sup, burger, lobak putih goreng, manisan dan banyak lagi,” katanya dalam satu kenyataan, pada Sabtu.

Justeru, beliau menyeru agar lebih ramai lagi pemain industri, khususnya industri restoran dan makanan dapat bersama-sama berganding bahu menjayakan inisiatif Menu Rahmah itu, bagi meringankan kos sara hidup rakyat.

Beliau pada masa sama berkata orang ramai boleh mendapatkan maklumat mengenai lokasi premis menjual Menu Rahmah berdekatan, menerusi laman web https://menurahmah.kpdn.gov.my.

Peniaga juga katanya boleh mendaftar penyertaan mereka dengan melayari laman web sama. – Bernama

PALING POPULAR

To Top