Umum

SRC International: ‘Najib sendiri penyebab gagal rayuannya’ – Mahkamah Persekutuan

Mahkamah Persekutuan memutuskan Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri sebenarnya menjadi penyebab prosiding rayuan beliau bagi kes membabitkan dana SRC International Sdn Bhd tidak didengar oleh panel hakim terdahulu.

Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Vernon Ong Lam Kiat yang membacakan penghakiman majoriti 4-1 itu, telah menolak permohonan bekas perdana menteri untuk menyemak keputusan panel Mahkamah Persekutuan sebelum ini yang mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda kerana menyeleweng dana SRC International berjumlah RM42 juta.

“Tiada penafian hak pemohon (Najib) dan tiada pelanggaran keadilan dalam kes itu,” katanya.

Keputusan majoriti itu dipersetujui oleh hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Nordin Hassan serta hakim Mahkamah Rayuan Datuk Abu Bakar Jais.

Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Abdul Rahman Sebli yang mempengerusikan panel lima hakim itu membuat keputusan bertentangan.

Dalam penghakimannya, Ong berkata peguam Najib sendiri yang enggan membuat penghujahan lisan sejak permulaan prosiding rayuan tahun lepas, walaupun peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik dibenarkan berbuat demikian oleh Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai panel hakim sebelum ini yang menolak rayuan itu.

“Pemohon berhujah bahawa haknya telah dicabuli. Bagaimanapun, di sini jelas pemohon adalah punca nasib malangnya sendiri. Kami tidak nampak sebarang sebab untuk menyemak sebarang keputusan panel Mahkamah Persekutuan terdahulu.

“Setelah mempertimbangkan semua rekod, mahkamah mendapati bahawa semua sabitan awal terhadap pemohon adalah selamat dan hukuman yang dikenakan terhadap pemohon tidak keterlaluan, dan oleh itu, disahkan,” kata Ong.

Mengenai permohonan semakan berhubung keengganan Tengku Maimun menarik diri daripada mendengar rayuan itu, hakim itu berkata undang-undang mengenai penarikan diri juga telah diselesaikan dengan baik berdasarkan prinsip ujian “bahaya berat sebelah”.

Beliau berkata keputusan Tengku Maimun untuk tidak menarik diri disokong oleh ahli panel yang lain dalam penghakiman berasingan.

Hakim itu selanjutnya berkata tiada kegagalan korum dalam apa jua perkara kerana hakim boleh mendengar sebarang penarikan diri yang dibuat terhadap mereka.

Sumber: Bernama

  

PALING POPULAR

To Top