Umum

5 produk kosmetik mengandungi racun dibatal notifikasi oleh KKM

Gambar Hiasan

Kementerian Kesihatan (KKM) telah membatalkan notifikasi 5 produk kosmetik kerana dikesan mengandungi racun berjadual dan produk berkenaan tidak lagi dibenarkan untuk dijual di Malaysia.

Bahagian Regulatori Farmas Negara (NPRA) menggesa orang awam untuk mengelak daripada membeli dan menggunakan 5 produk komestik yang telah dikesan mengandungi racun berjadual itu.

5 produk kosmetik tersebut adalah Skinsister Babyskin Treatment Cream, Sahaana Fairness Cream, Skinmade AZ & Salicylic Acid + Licorice Root Serum, Glowing Night Cream dan Glowing Herba Night Cream.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata Skinsister Babyskin Treatment Cream dan Sahaana Fairness Cream dikesan mengandungi merkuri, manakala Skinmade AZ & Salicylic Acid + Licorice Root Serum mengandungi asid azelaik.

Glowing Night Cream pula dikesan mempunyai hidrokuinon, tretinoin dan betamethasone 17-valerate, manakala merkuri dan Glowing Herba Night Cream didapati mengandungi betamethasone 17-valerate.

Beliau menerangkan, “merkuri dilarang dalam produk kosmetik kerana ia boleh memudaratkan kesihatan sehingga menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf serta mengganggu perkembangan otak kanak-kanak kecil atau belum lahir selain menyebabkan ruam dan iritasi pada kulit.

“Produk yang mengandungi asid azelaik, hidrokuinon, tretinoin dan betamethasone 17-valerate perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat ahli profesional kesihatan.”

“Penggunaan bahan-bahan tersebut tanpa pengawasan ahli kesihatan profesional boleh menyebabkan kesan sampingan yang tidak diingini,” nasihat beliau.

Beliau berkata asid azelaik boleh menyebabkan bahagian kulit muka yang disapu mengalami rasa terbakar, kegatalan, kesan kemerahan, kulit mengelupas dan perubahan warna kulit.

Hidrokuinon pula katanya, boleh menyebabkan kemerahan pada kulit, ketidakselesaan, perubahan warna kulit yang tidak diingini, kulit menjadi hipersensitif, boleh menghalang proses pigmentasi (depigmentasi) yang mengurangkan perlindungan kulit daripada pancaran sinar ultra ungu (UV) berbahaya dan meningkatkan risiko kanser kulit.

Penggunaan tretinoin tanpa pengawasan pula boleh menyebabkan bahagian kulit yang disapu menjadi kemerahan, tidak selesa, pedih, mengelupas dan hipersensitif kepada cahaya matahari.

Muhammad Radzi berkata Betamethasone 17-valerate boleh menyebabkan bahagian kulit muka yang disapu menjadi nipis dan mudah mengalami iritasi, berjerawat, perubahan pada pigmentasi kulit dan meningkatkan risiko untuk diserap ke dalam sistem peredaran darah yang boleh membawa kesan mudarat.

Beliau menggesa penjual dan pengedar agar menghentikan penjualan serta pengedaran semua produk berkenaan serta-merta kerana melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Individu yang melakukan kesalahan di bawah peraturan itu berdepan hukuman maksimum denda RM25,000 atau penjara 3 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda RM50,000 atau penjara 5 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.

Beliau berkata syarikat yang melakukan kesalahan berdepan hukuman denda maksimum RM50,000 untuk kesalahan pertama dan RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.

“Orang awam yang sedang menggunakan produk kosmetik ini dinasihatkan agar segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers,” katanya.

Beliau menggalakan orang awam untuk menyemak status notifikasi sesuatu produk kosmetik di laman sesawang rasmi NPRA www.npra.gov.my atau melalui aplikasi ‘NPRA Product Status’ yang boleh dimuat turun Google Play Store.

PALING POPULAR

To Top