Umum

5,455 mangsa banjir di Johor dari tujuh daerah ditempatkan di 55 PPS

Situasi banjir di Johor menunjukkan peningkatan dengan 5,455 mangsa banjir daripada 1,508 keluarga yang ditempatkan di 55 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di tujuh daerah negeri ini, setakat jam 8 pagi tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, Segamat menjadi lokasi paling teruk terjejas banjir dengan 21 PPS dibuka bagi menempatkan 1,801 mangsa daripada 504 keluarga.

Ini diikuti 1,256 mangsa banjir daripada 353 keluarga di Kluang yang ditempatkan di 12 PPS.

“Kota Tinggi menempatkan 738 mangsa banjir daripada 179 keluarga di tujuh PPS,” katanya menerusi satu kenyataan, di sini, hari ini.

“Daerah Mersing juga menunjukkan trend meningkat yang menempatkan 1,153 mangsa banjir daripada 347 keluarga di tujuh PPS.

“Manakala Batu Pahat menempatkan 272 mangsa banjir daripada 74 keluarga ditempatkan di empat PPS,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Jelas Azmi, daerah Muar pula terdapat tiga PPS yang menempatkan 217 mangsa banjir daripada 47 keluarga.

Katanya, Pontian kekal menempatkan 18 mangsa banjir daripada empat keluarga di satu PPS.

“Setakat ini terdapat lima jalan utama yang ditutup di negeri ini akibat ditenggelami air banjir dan terlibat cerunan runtuh.

“Ia melibatkan tiga jalan di daerah Mersing iaitu Jalan Jemaluang- Batu Pahat, Jalan Nitar Timur-Pengkalan Batu, dan Jalan Tanah Abang yang tidak boleh dilalui sebarang kenderaan termasuk kenderaan berat.

“Manakala Jalan Sungai Tiram- Ulu Tebrau juga ditutup ekoran tanah runtuh yang melibatkan enam meter cerunan runtuh di Kulai.

“Di Segamat pula, Jalan Jabi – Bukit Tempurung turut ditutup kepada semua kenderaan,” katanya.

Sumber: Astro Awani

PALING POPULAR

To Top