Umum

Prosiding Siti Bainun diteruskan biarpun tiada peguam

Prosiding bela diri Siti Bainun Ahd Razali atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya kanak-kanak perempuan sindrom down dikenali Bella di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis, diteruskan biarpun Pengasas Rumah Bonda itu tidak diwakili peguam.

Hakim Izralizam Sanusi mengarahkan Siti Bainun, 31, membaca pernyataan saksinya setebal hampir 200 muka surat agar tidak mengganggu perjalanan kes.

Menurutnya, ia akan memakan masa yang lama untuk dihabiskan dan diharap dalam diselesaikan dalam masa dua hari.

Bagaimanapun, beliau menangguhkan pemeriksaan balas oleh pasukan pendakwaan sehingga tarikh perbicaraan yang ditetapkan pada 20 Februari depan.

“Dalam kes ini, saya perlu menggunakan budi bicara dengan bijaksana, oleh itu saya akan mulakan kes pembelaan dengan kamu membacakan pernyataan saksi, yang telah diterima oleh pihak pendakwaan,” katanya.

Beliau berkata, sebagai mana yang dijanjikan oleh tertuduh, pemeriksaan balas boleh dijalankan pada tarikh bicara bulan depan.

Semasa prosiding, Siti Bainun memaklumkan sudah berbincang dengan peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Siti Bainun: Saya dah mohon dengan YBGK dan mereka maklumkan memerlukan masa selama sebulan untuk meneliti kes kerana semua dokumen sudah ada kecuali penyata bank daripada BNM (Bank Negara Malaysia).

Izralizam: Sebelum penangguhan prosiding dibenarkan, saya perlu rekodkan beberapa perkara, sila jawab soalan saya.

Siti Bainun: Baik.

Izralizam: Adakah kamu buat aduan kepada Majlis Peguam berhubung tindakan lima peguam yang menarik diri daripada mewakili kamu?

Siti Bainun: Tidak, kerana mereka masih membantu saya dalam penyediaan pernyataan tuntutan dan dokumen perbicaraan.

Izralizam: Selain kes di sini, kamu ada dua kes lain termasuk kes Rumah Bonda malah bagi kes itu kamu diwakili peguam?

Siti Bainun: Betul.

Izralizam: Kamu tahu tak kepentingan dan keseriusan kes ini berbanding kes sivil serta kes rayuan itu?

Siti Bainun: Tahu.

Izralizam: Seharusnya kes di mahkamah ini, kamu utamakan sebab tiada penggantungan prosiding di Mahkamah Tinggi, namun kamu masih mahu lantik YBGK.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Zilfinaz Abbas membantah beberapa perenggan dalam pernyataan saksi yang dibuat oleh Siti Bainun.

“Ia telah menyentuh isu peribadi saksi pendakwaan kelima, bekas penghuni Rumah Bonda, Yasmin Nahar Mahmood dan kepakaran saksi-saksi pendakwaan lain,” katanya.

Hakim kemudian mengarahkan pasukan pendakwaan menyenaraikan perenggan-perenggan yang dimaksudkan.

Perbicaraan kemudian ditangguhkan seketika.- Sinar Harian

PALING POPULAR

To Top