Umum

6 sekeluarga melecur ketika selamatkan diri

Enam sekeluarga melecur di beberapa bahagian badan ketika menyelamatkan diri selepas rumah mereka di Jalan Makmur, Pasir Panjang, dekat sini, terbakar, awal pagi tadi.

Mangsa yang cedera dikenali sebagai Jamri Manap, 41, Jurina Aziz, 46, Mohd Raziq Azrai Jamri, 19, Norhidayah Jamri, 17, Norain Jamalin Jamri, 12 dan Mohd Zazil Hidayat Jamri, 8.

Dalam kejadian 3 pagi itu, rumah setingkat itu musnah terbakar 90 peratus, manakala sebuah kereta Proton Wira musnah 60 peratus.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 3.04 pagi.

Beliau berkata, sepasukan 16 pegawai dan anggota bersama tiga jentera serta van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sekinchan dan BBP Sungai Besar dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba, didapati kebakaran membabitkan sebuah rumah setingkat dan juga kereta Proton Wira.

“Enam mangsa yang tinggal di rumah itu semasa kebakaran berlaku berjaya menyelamatkan diri sebelum pihak bomba tiba di lokasi.

“Mereka yang melecur di beberapa bahagian badan dikejarkan ke Hospital Tanjong Karang (HTK) dengan menaiki van EMRS,” katanya dalam kenyataan.

Norazam berkata, api berjaya dikawal pada 3.32 pagi dan kebakaran dipadamkan sepenuhnya pada 4.15 pagi.

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top