Umum

Malaysia dan Singapura saling iktiraf sijil vaksin

MALAYSIA dan Singapura akan saling mengiktiraf sijil vaksin masing-masing bagi membolehkan pergerakan rentas sempadan antara kedua negara dilakukan.

Menurut Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, perkara tersebut telah dibincangkan dalam pertemuan beliau dengan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong baru-baru ini.

Jelas bekas Perdana Menteri itu, perkara tersebut merupakan sebahagian daripada perbincangan kedua belah pihak mengenai kepentingan pembukaan semula sempadan kedua-dua buah negara.

“Hsien Loong bersetuju (dengan pembukaan sempadan) tetapi disebabkan keadaan semasa dan proses pemberian vaksin di Malaysia dan Singapura masih belum selesai beliau berpendapat kedua belah pihak perlu lebih berhati-hati dalam perkara ini.

“Dalam masa sama beliau mengakui bahawa perhubungan kedua buah negara amat erat termasuklah dalam perkara yang membabitkan perniagaan yang mana ini akan menjadi satu masalah sekiranya sempadan tidak dibuka seberapa segera,” kata beliau kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor di Ibu Pejabat Bahagian Pagoh parti itu pada Jumaat, 24 September.

Presiden Bersatu itu selanjutnya menjelaskan, turut menjadi pokok pertimbangan dalam perkara ini ialah kelulusan daripada Singapura dan kadar vaksinasi yang perlu dinaikkan kepada tahap yang lebih tinggi.

Jelas beliau, soal pembukaan sempadan; pergerakan rentas daerah dan negeri yang menjadi pokok perbincangan kerajaan di semua peringkat.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pagoh menjelaskan sebarang keputusan yang dibuat oleh pihak kerajaan akan berdasarkan pada data dan analisa saintifik daripada pakar termasuklah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga pertimbangan keselamatan sempadan di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Selanjutnya beliau menjelaskan kesemua perkara itu akan dipertimbangkan namun apa yang pasti setelah kadar vaksinasi mencapai tahap yang lebih tinggi negara menjadi selamat semua sempadan negara akan dibuka semula. – SB

PALING POPULAR

To Top