Buletin

Selangor cadang teruskan jualan ayam murah

Kerajaan Selangor bercadang untuk melanjutkan tempoh penjualan ayam murah menerusi Program Intervensi Harga Makanan Ehsan bawah Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS).

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari bagaimanapun berkata, keputusan itu akan dibuat selepas peruntukan sebanyak RM50,000 ekor ayam di outlet PKPS sebelum ini habis terjual.

“Sudah pasti, selepas kita hampir habis 50,000 ekor ayam nanti kita akan buat keputusan sama ada kita hendak lanjutkan lagi (Program Intervensi Harga Makanan Ehsan) sebulan atau sebagainya.

“Namun perlu diingat program ini adalah intervensi untuk mengurangkan kesan peningkatan mendadak (harga ayam) pada waktu ini,” katanya ketika ditanya adakah program selama dua minggu itu akan dilanjutkan selepas ini.

Beliau ditemui pada Majlis Penyampaian Surat Tawaran Pinjaman Boleh Ubah Dalam Negara di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini pada Selasa.

Pada Sabtu, kerajaan Selangor melalui PKPS melaksanakan Program Intervensi Harga Makanan Ehsan, dengan menetapkan harga siling runcit ayam standard pada RM8 sekilogram sebagai usaha menangani lonjakan harga barang makanan ketika ini.

Amirudin dilaporkan berkata, program selama dua minggu yang bermula Isnin itu membabitkan penjualan ayam kepada orang ramai di dua outlet PKPS iaitu Pasar Borong Selangor dan Wisma PKPS.

Kerajaan negeri menawarkan jualan ayam pada harga RM8 sekilogram, manakala harga telur ditetapkan RM11.70 daripada RM12.40 sepapan, dengan kos pengurangan harga itu ditanggung oleh PKPS menerusi dana RM1 juta.

Dalam pada itu, Amirudin berkata, program intervensi itu bagaimanapun tidak boleh diadakan dalam tempoh yang panjang kerana tujuan dilaksanakan adalah untuk mengurangkan beban rakyat Selangor.

“Jadi ia bukan selamanya atau sepanjang tahun tetapi intervensi-intenvensi yang kita buat ini sedikit sebanyak memastikan supaya rakyat tidak terbeban dengan kos makanan cukup diminati iaitu ayam dan telur ayam yang kini harganya meningkat mendadak.

“Puncanya pihak Persekutuan perlu kenal pasti dan kita campur tangan ini hanya sementara untuk kurangkan bebanan rakyat mungkin dalam tempoh sebulan, dua bulan sehingga satu kawalan menyeluruh dapat dibuat dan itu di luar bidang kuasa kita,” katanya.

Artikel asal di Sinar Harian

PALING POPULAR

To Top