Tindakan beberapa lelaki ‘membuli’ seekor harimau bintang yang sakit di sebuah daerah di negeri Madhya Pradesh, India mengundang kecaman ramai.
Insiden di pinggir Dewas itu tular selepas ia dimuat naik ke platform media sosial.
Dalam video yang dikongsi secara meluas, harimau bintang dewasa itu ditemukan di kawasan semak dalam keadaan lemah.
Haiwan malang itu kemudian dikepung beberapa lelaki yang sebahagiannya memegang batang kayu.
Sebahagian daripada mereka menyentuh dan mengambil gambar haiwan tersebut, malah seorang lelaki kelihatan cuba menunggang harimau bintang yang tidak berdaya itu.
Selepas video tersebut tersebar, pihak berkuasa bertindak menyelamatkan harimau bintang itu dan menghantarnya ke sebuah zoo di bandar Indore untuk rawatan dan pemantauan.
“Harimau bintang itu diselamatkan pada Selasa di perkampungan Iklera.
“Kami dapati ia mengalami pendarahan otak dan keadaannya kini kritikal.
“Apa pun, kami menasihati orang ramai supaya tidak menghampiri mana-mana haiwan yang sakit demi keselamatan,” kata pegawai perhilitan, Vikas Mahore.
Sementara itu, pegawai veterinar, Dr Uttam Yadav berkata, ini pertama kali beliau melihat harimau bintang tidak memberikan sebarang reaksi apabila diganggu.
“Ini amat mengejutkan kerana harimau bintang akan bertindak balas sekiranya diancam tidak kira ia sakit atau sihat,”
Sementara itu, pengguna media sosial tidak putus-putus mengutuk perbuatan buli itu dan menganggap situasi tersebut mesti berbeza jika haiwan berkenaan sihat.
“Dia sakit, cuba kalau sihat menggelupur semua lari,” kata Mihir Shah.
“Harimau bintang itu tengah sakit dan dia bukan keldai untuk ditunggang,” ujar Lotan Baba.
“Sebelum ini ada video lelaki lari tak cukup tanah….macam pondan dikejar harimau bintang, kali ini mereka semua bernasib baik,” tambah Rani Durgavati. – Sinar Harian memetik agensi