Umum

India mahu kaji matahari pula

Susulan kejayaan pendaratan kenderaan robotik, Chandrayaan-3 pada Ogos lalu di kawasan kutub selatan bulan yang tidak pernah diterokai, India kini berhasrat mahu mengkaji matahari pula di bawah misi solar pertama dilancarkan negara Asia Selatan itu pada Sabtu.

Pelancaran bersejarah Aditya-L1 itu turut disiarkan secara langsung oleh Pertubuhan Penyelidikan Angkasa Lepas India (ISRO) menerusi laman web mereka dan meraih hampir 500,000 tontonan.

India semakin mendahului perlumbaan ke angkasa lepas dan meninggalkan Amerika Syarikat (AS) serta China yang mendominasi misi tersebut.

Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Amit Shah berkata, pelancaran itu adalah satu ‘langkah gergasi’ ke arah merealisasikan visi Perdana Menteri, Narendra Modi yang mahu New Delhi terus melakar sejarah dalam ekspedisi ke angkasa lepas.

Program tersebut bertujuan untuk mengkaji angin suria atau aurora yang biasanya boleh menyebabkan gangguan pada bumi.

Kapal angkasa Aditya-L1 yang membawa instrumen saintifik itu direka untuk melakukan perjalanan ke Langrange Point L1, yang dapat mengimbangi daya graviti bagi mengurangkan penggunaan bahan api.

“Terdapat insiden komunikasi terjejas kerana satelit dilanda pelepasan jisim korona berskala besar. Satelit di orbit rendah bumi menjadi fokus utama yang menjadikan misi Aditya-L1 sebagai projek yang amat penting,” jelas Profesor Somak Raychaudhury

Menurutnya, saintis berharap untuk mengetahui lebih lanjut tentang impak sinaran suria terhadap ribuan satelit di orbit yang semakin bertambah atas kejayaan usaha sama rangkaian komunikasi Starlink dilancarkan firma aeroangkasa, SpaceX, milik Elon Musk.

Sementara itu, Profesor Rama Rao Nidamanuri yang mengetuai Jabatan Sains Angkasa dan Bumi di Institusi Sains dan Teknologi Angkasa India mendakwa ruang orbit rendah bumi kian ‘tercemar’ kerana penyertaan syarikat swasta yang semakin meningkat.

“Oleh itu, ekspedisi ini dapat membantu kita memahami cara melindungi satelit dalam persekitaran angkasa lepas yang sesak pada masa kini,” ujarnya.

Saintis ISRO juga menjelaskan data daripada misi itu dapat memberi pemahaman dengan lebih jelas tentang kesan matahari pada corak iklim bumi dan asal-usul angin suria iaitu aliran zarah daripada matahari.

New Delhi yang bercita-cita tinggi dan mahu berdiri setanding Barat kini bergantung kepada kejayaan ISRO untuk mempamerkan kehebatan mereka dalam sektor berkenaan walaupun hanya melancarkan misi dengan bajet rendah. – Agensi/Sinar Harian

PALING POPULAR

To Top