Umum

Mahkamah mengesahkan suami yang “dimadukan” masih sah sebagai suami isteri

Gambar Hiasan

Mahkamah Rendah Syariah Tanah Merah di sini pada Ahad memutuskan pasangan suami isteri masih sah berkahwin setelah menerima sumpah penafian suami pertama bahawa tidak pernah melafazkan cerai terhadap isteri keduanya yang didakwa memiliki dua suami.

Suami sah dalam kes ini, Rahaman K A Mohamed Jaafar, 47, juga defendan dalam kes pengesahan lafaz cerai itu mengangkat sumpah berserta senaskah al-Quran di hadapan Hakim Ahmad Hariri Mohd Saad.

Ahmad Hariri dalam keputusan itu turut memutuskan Rahaman dan plaintif, Wan Nor Shakirin Wan Abdul Razak, 32, masih sah sebagai pasangan suami isteri.

“Dengan lafaz sumpah ini, mahkamah memutuskan defendan dan plaintif masih suami isteri yang sah kecuali plaintif hadir semula ke mahkamah dengan bukti baharu,” kata Ahmad Hariri.

Wan Nor Shakirin sebelum ini memberitahu mahkamah bahawa suaminya, Rahaman sudah melafazkan cerai talak tiga ke atasnya namun perkara itu dinafikan oleh Rahaman.

Pasangan itu dikatakan berkahwin pada bulan Januari 2019 di Narathiwat, Thailand dan telah disahkan mengikut hukum syarak oleh Mahkamah Rendah Syariah Tanah Merah pada 6 Jun lalu serta didaftarkan di Pejabat Agama Jajahan Tanah Merah.

Rahaman bagaimanapun terkejut apabila mendapat maklum bahawa Wan Nor Shakirin sudah berkahwin lagi dengan seorang lelaki lain.

Peguam mewakili Rahaman, Marzuqi Muhamad, berkata mahkamah hari ini sudah memutuskan anak guamnya masih suami isteri dan menetapkan 22 Oktober sebagai tarikh sebutan permohonan cerai yang difailkan oleh Wan Nor Shakirin terhadap Rahaman.

 

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top