Umum

KTMB sediakan 2 tren ETS tambahan sempena Deepavali

Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan menyediakan perkhidmatan tambahan 2 tren elektrik (ETS) bagi laluan stesen Kuala Lumpur Sentral (KL Sentral) ke Padang Besar dan sebaliknya sempena sambutan perayaan Deepavali tahun ini.

KTMB memaklumkan tiket tren tambahan yang akan beroperasi selama 5 hari bermula dari 9 hingga 13 November tersebut, dibuka mulai jam 10 pagi hari Selasa (17 Oktober) .

Perkhidmatan tambahan ini akan menawarkan sebanyak 630 tiket sehari dan menjadikan jumlah keseluruhan tiket sebanyak 3,150 termasuk koc kelas perniagaan.

Menurut KTMB, penambahan tren ETS ini adalah bagi menampung permintaan tiket kereta api yang tinggi semasa musim perayaan.

Lebuh raya utama negara juga dijangka menerima jumlah trafik yang tinggi berbanding hari biasa.

KTMB memaklumkan tren akan berlepas pada 11 pagi dari Padang Besar dan tiba di KL Sentral pada 4.36 petang manakala tren dari KL Sentral akan berlepas pada 5.05 petang dan tiba di Padang Besar pukul 10.34 malam.

KTMB turut menawarkan promosi diskaun perkhidmatan tren ETS sebanyak 15 peratus untuk tarikh tertentu selama 10 hari dari 16 hingga 31 Oktober ini.

KTMB berkata tawaran yang terbuka kepada warganegara Malaysia sahaja itu tertakluk kepada 200 penumpang pertama bagi kadar tambang kategori dewasa untuk mana-mana laluan ETS dan tidak termasuk kelas perniagaan.

Orang ramai dinasihatkan untuk merancang perjalanan dan membuat pembelian lebih awal bagi menikmati tambang fleksi yang lebih menjimatkan serta elakkan pembelian tiket di saat akhir.

Untuk maklumat lanjut, boleh layari laman sesawang rasmi atau hubungi Pusat Panggilan KTMB di talian 03-2267 1200.

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top