Ketua Meteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dicabar menunjukkan bukti mengenai dakwaan terdapat cubaan untuk menjatuhkan beliau sebagai ketua kerjaan negeri.
Pengerusi DAP Lim Guan Eng berkata jika benar dakwaan dibuat Kon Yeow itu, maka Pengerusi DAP Pulau Pinang itu perlu menyerahkan bukti kepada Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, supaya ia dapat ditangani parti secara dalaman dengan setegas mungkin.
Tambah Guan Eng,”Loke dengan tegas memberikan kenyataan bahawa tidak pernah timbul isu bagi menggantikan Chow (Kon Yeow) sebagai Ketua Menteri dan ini sepatutnya menoktahkan ura-ura bagi menjatuhkan beliau yang dimulakan secara tiba-tiba oleh Chow (Kon Yeow) sendiri.”
“Sehingga ke hari ini, Kon Yeow masih lagi tidak memberikan sebarang bukti bahawa terdapat plot yang diaturkan oleh ahli-ahli DAP untuk menjatuhkan beliau,” katanya dalam kenyataan.
“Sekiranya Kon Yeow mempunyai bukti, seharusnya bukti tersebut diserahkan kepada Setiausaha Agung DAP supaya parti dapat menangani isu ini secara dalaman dengan setegas mungkin,” ujarnya.
Desas-desus mengenai usaha menggantikan Kon Yeow sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang timbul sebelum Pilihan Raya Negeri yang berlangsung di enam negeri pada 12 Ogos lalu, dengan nama Guan Eng disebut sebagai antara yang akan kembali menerajui pentadbiran Pulau Pinang.
Bagaimanapun Kon Yeow ketika mengulas perkara itu memaklumkan Guan Eng yang pernah berkhidmat selama dua penggal sebelum atau selepas pindaan Perlembagaan Negeri yang diluluskan pada 2018, tidak boleh dilantik semula.