Pelakon dan pengacara terkenal Sazzy Falak tidak minat dengan skrip dan budaya hos yang sindir-menyindir antara program lain dan menyifatkan perkara itu sebagai tidak professional.
Sazzy atau Sazlini Shamsul Falak berpendapat, sindiran ketika mengendalikan sesebuah program televisyen juga adalah perkara tidak profesional dalam dunia industri penyiaran.
Menurutnya, dia lebih rela menyertai rancangan berbentuk ilmiah, dan menjelaskan sebagai hos, dia tidak minat terlibat program yang suka mencetuskan gosip.
Katanya pada sidang media Women Talk “kalau dapat skrip untuk menyindir, saya takkan buat. Saya bukan pengacara sebegitu sebab saya ada integriti.”
“Saya sangat berbangga terbabit dalam Women Talk yang mungkin tidak dapat perhatian ramai berbanding program lain, tetapi kami bawakan isu penting,” tambahnya lagi.
“Apabila seseorang menyindir, mereka kemungkinan ada rasa tidak selamat atau terancam.
“Sesiapa yang rasa selamat mereka tidak akan menyindir orang lain dan lebih sibuk menguruskan kerja harian masing-masing.
“Mungkin sindiran dibuat untuk tarik penonton menonton program mereka dan nasib baik Women Talk tidak berbuat demikian,” ujarnya lagi.
Pengacara berpengalaman lebih 23 tahun itu turut menolak kontroversi sedemikian bagi menunjukkan contoh yang baik buat generasi akan datang terutama anak-anaknya.
Mengulas lanjut, ibu kepada 3 orang anak itu menyatakan dia tidak mahu anak-anaknya yang membesar itu menonton program yang memaparkan ibu mereka sindir-menyindir program atau orang lain di kaca mata tv.