Umum

Sebuah ambulans kemalangan di Putrajaya, saksi diminta tampil bantu siasatan

Sebuah ambulans yang membawa pesakit telah terlibat satu kemalangan jalan setelah bertembung dengan sebuah kereta di persimpangan lampu isyarat Jalan Lebuh Bestari – Persiaran Perdana, dekat Putrajaya pada hari Khamis.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Asmadi Abdul Aziz berkata, dalam kejadian sekitar 11.45 malam itu, sebuah kereta jenis Audi TT FSI Auto dari Persiaran Perdana menuju ke Masjid Putra.

Kata beliau, semasa kereta itu meneruskan perjalanan, lampu isyarat pada ketika itu berwarna hijau.

Katanya, sebuah ambulans tiba dari simpang kanan dengan memberi isyarat siren dan hon kecemasan.

Kereta tersebut yang berada di lorong tengah dipercayai telah hilang kawalan dan tidak sempat membrek dan melanggar ambulans di bahagian kirinya

Dalam kenyataan yang dilaporkan Sinar Harian, Asmadi berkata akibat kemalangan itu, ambulans tersebut terbalik di atas jalan raya, manakala mereka yang mengalami kecederaan telah dihantar ke Hospital Putrajaya untuk menerima rawatan,”

Asmadi berkata, sewaktu kejadian, ambulans tersebut dalam perjalanan dari Presint 18 mengambil pesakit dan menghala ke Hospital Putrajaya.

Katanya, kenderaan yang terlibat dalam kemalangan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya.

Menurutnya, pihaknya sedang membuat permohonan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian bagi tujuan siasatan.

Tambahnya, pihak polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat dan berada di tempat kejadian tampil membantu siasatan.

Kemalangan tersebut disiasat di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987

 

 

 

Sumber Sinar Harian

PALING POPULAR

To Top