Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) membuat keputisan untuk menggantung lesen perkhidmatan udara (LSA) syarikat penerbangan MYAirline.
Lesen MYAirline digantung oleh badan kawal selia industri penerbangan itu serta-merta kerana penjelasan syarikat terbabit kepada surat tunjuk sebab bulan lepas adalah “tidak memuaskan”.
Pengarah Eksekutif Saripuddin Kasim berkata, Mavcom juga mempertimbangkan pembatalan ASL MYAirline, namun ianya akan memberi kesan kepada usaha bayaran balik kepada penumpang yang terjejas.
Mavcom membuka siasatan terhadap MYAirline dan mengeluarkan surat tunjuk sebab pada 13 Oktober, selepas syarikat itu mengumumkan penggantungan operasi pada 12 Oktober disebabkan tekanan kewangan.
Surat berkenaan menyentuh kegagalan MYAirline memenuhi syarat-syarat ASL, termasuk pembayaran gaji dan faedah pekerja yang belum dijelaskan.
Namun begitu, Mavcom berkata MYAirline masih bertanggungjawab untuk membuat bayaran balik terhadap penumpang-penumpang yang terjejas, walaupun lesennya sudah digantung.
Badan itu menganggarkan lebih 117,000 penumpang telah terjejas akibat penggantungan operasi MYAirline, dengan nilai jualan hadapan keseluruhan berjumlah lebih daripada RM22 juta bagi penerbangan yang berjadual dari 12 Oktober 2023 hingga 31 Mac 2024.
Mavcom berkata pasukan petugasnya memiliki mandat untuk meneliti isu bayaran balik penumpang yang terjejas dan memberikan cadangan mengenai langkah seterusnya.
“Ini termasuk penyelarasan mekanisme perlindungan pengguna penerbangan. Sementara itu, Mavcom akan terus bekerjasama dengan Bank Negara bagi mencari penyelesaian buat penumpang yang terjejas untuk mendapatkan wang mereka kembali,” katanya.