Umum

Wanita maut disyaki dilanggar, ditikam 15 kali

Gambar Facebook / Tanpa Nama

Seorang peniaga wanita ditemukan maut dengan sebanyak 15 kesan tikaman di bahagian badan di tepi jalan besar Kuala Berang hari Rabu.

Mayat berusia 65 tahun itu ditemui oleh seorang pengawal keselamatan di dalam longkang di kawasan berkenaan.

Ketua Polis Terengganu Datuk Mazli Mazlan berkata, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai telah dilanggar oleh suspek wanita yang juga rakan kongsinya berusia 35 tahun.

Menurutnya, sebelum kejadian itu, mangsa dan suspek menaiki kenderaan jenis Honda Jazz dan berlaku pertengkaran antara mereka.

Mangsa dikatakan keluar dari kenderaan berkenaan sebelum suspek bertindak melanggar mangsa.

“Suspek kemudian keluar dari kenderaan berkenaan dan bertindak menikam mangsa sebelum meninggalkan lokasi dengan menumpang sebuah van.

“Suspek berjaya ditahan di rumahnya di Wakaf Tapai, Marang kira-kira jam 11 pagi,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu di sini hari ini.

Mazli berkata, siasatan awal kejadian dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati berhubung agihan keuntungan perniagaan pakaian dan tudung yang diusahakan mereka sejak lima tahun lalu.

Sehubungan itu, pihaknya telah menemui sebilah pisau pemotong daging yang dibuang suspek berhampiran rumahnya yang turut dirampas.

“Honda Jazz yang ditinggalkan di lokasi kejadian adalah milik suami suspek dan selepas kejadian itu, suspek dikatakan menahan kenderaan yang melalui kawasan berkenaan untuk pulang ke rumahnya.

“Mayat dibawa ke Hospital Hulu Terengganu sebelum dipindahkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu untuk bedah siasat.

“Suspek akan dibawa ke mahkamah bagi mendapatkan perintah reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

PALING POPULAR

To Top