Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dijangka mampu mencapai sasaran kutipan cukai berjumlah RM185.02 bilion untuk 2023.
Perkara itu telah dinyatakan oleh Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan, dengan mengambil kira kutipan cukai sehingga 30 Oktober yang sudahpun mencapai RM151.49 bilion.
“Saya doakan dalam tempoh berbaki dua bulan ini, LHDN terus berprestasi secara optimum dan kemuncaknya memberikan kesan signifikan serta sejarah baharu kepada pencapaian hasil negara,” katanya pada sidang media selepas merasmikan sambutan Hari Inovasi dan Integriti LHDN 2023 di sini hari ini.
Beliau berkata, sasaran kutipan cukai itu mampu dicapai kerana pelbagai usaha gigih dan inovasi yang dilaksanakan LHDN, termasuk idea kreatif dan inovatif yang sentiasa diperlukan bagi memastikan tahap kecekapan, ketelusan serta keberkesanan sistem percukaian LHDN dapat dipertingkatkan.
LHDN telah melaporkan pencapaian terbaik dalam sejarah dengan kutipan hasil sebanyak RM175 bilion pada tahun 2022 berbanding RM140 bilion yang berjaya dikutip pada tahun 2021.