Umum

Agrobank sediakan dana sehingga RM350,000 untuk penternak komuniti dan mikro

Gambar Hiasan

Agrobank menyediakan dana pembiayaan sehingga RM350,000 khususnya kepada penternak komuniti dan mikro dan pembiayaan sehingga RM5 juta kepada penternak kecil dan sederhana.

Agrobank dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menyediakan Skim Mikro Kredit dalam bentuk pembiayaan modal pusingan buat penternak komuniti dan pembiayaan modal kerja dan tetap kepada penternak kecil dan sederhana.

Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin, pembiayaan tersebut termasuk transformasi dari reban ayam terbuka kepada reban ayam tertutup.

“Dengan margin sehingga 90 peratus bagi tempoh pembiayaan sehingga 9 tahun, penternak komuniti dan mikro serta penternak kecil dan sederhana masing-masing bakal menikmati kadar keuntungan sehingga 3 peratus setahun mengikut baki bulanan.

“Program ini juga membolehkan pengusaha beralih kepada teknik pemeliharaan yang lebih cekap dan secara tidak langsung dapat meningkatkan produktiviti ladang, mengurangkan kos pengeluaran selain harga ayam berpatutan dapat ditawarkan kepada pasaran,” katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Jelasnya, Agrobank bertekad memastikan status bekalan harga ayam di ladang kekal stabil dan tidak membebankan rakyat serta tidak berlaku sebarang aktiviti pencatutan di sepanjang rantaian bekalan.

Agrobank akan terus memberi kerjasama melalui KPKM bagi memperkasa sektor agromakanan, terutama dalam industri penternakan ayam bagi memastikan peningkatan, kemampanan keselamatan serta keterjaminan makanan negara.

PALING POPULAR

To Top