Umum

Delivery Hero mungkin menjual perniagaan Foodpanda pada bulan depan

Gambar hiasan

Potensi penjualan perniagaan foodpanda di Malaysia mungkin semakin hampir. Sumber berkata Delivery Hero yang tersenarai di Frankfurt mungkin memeterai perjanjian untuk melupuskan operasi foodpandanya di sini menjelang Disember tahun ini.

Operasi Malaysia adalah salah satu daripada tujuh pasaran foodpanda di Asia Tenggara yang Delivery Hero dikatakan akan melupuskan dengan Grab Holdings Ltd yang berpangkalan di Singapura yang dikhabarkan sebagai bakal pembeli.

Pasaran serantau lain ialah Filipina, Kemboja, Laos, Myanmar, Singapura dan Thailand. Sumber menyatakan bahawa kebanyakan kakitangan foodpanda Malaysia masih tidak tahu mengenai potensi jualan, walaupun ada yang mula bersiap sedia dan mencari pekerjaan baharu.

Foodpanda ialah syarikat penghantaran makanan kedua terbesar di Tenggara, mengawal 30-40 peratus pasaran penghantaran makanan di setiap negara yang beroperasi. Delivery Hero baru-baru ini mengesahkan bahawa ia sedang dalam perbincangan untuk menjual perniagaan foodpandanya di rantau ini bagi mengalihkan tumpuannya untuk memperoleh keuntungan.

Majalah perniagaan Wirtschaftswoche Jerman pertama kali melaporkan berita itu lewat September, menyatakan bahawa Grab adalah pembeli berpotensi dan boleh membelanjakan lebih daripada satu bilion euro untuk memperoleh platform penghantaran makanan dan barangan runcit dalam talian di kesemua tujuh pasaran.

Delivery Hero, bagaimanapun, menyatakan bahawa nilai perjanjian itu masih belum disahkan. Menurut laporan kewangan Delivery Hero pada separuh pertama 2023 (1H23), nilai barangan kasarnya di Asia turun 5.9 peratus kepada 12.64 bilion euro berbanding 13.44 bilion euro dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Hasil segmen bagi rantau Asia susut 1.8 peratus kepada 1.83 bilion euro daripada 1.87 bilion euro pada 1H22. Segmen Asia termasuk Bangladesh, Kemboja, Hong Kong, Laos, Malaysia, Myanmar, Pakistan, Filipina, Singapura, Taiwan dan Thailand. Dalam laporan tahunannya untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022, Delivery Hero Malaysia Sdn Bhd mencatatkan kerugian bersih sebanyak 52.22 juta euro.

Sementara itu, penganalisis berkata harga saham Grab akan meningkat jika pengambilalihan itu diteruskan. Syarikat itu boleh memperoleh sebahagian besar daripada pasaran penghantaran makanan dalam talian di rantau ini jika ia mengambil alih foodpanda. Grab membuat debutnya di bursa saham Nasdaq pada 2 Dis 2021. Setakat ini, harga saham syarikat teknologi itu turun 11.27 peratus kepada AS$3.07.

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top