Umum

Pengkalan Hulu dilanda banjir, jumlah mangsa mencecah 419 orang

Gambar APM

Sebuah lagi pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Dewan Orang Ramai Kampung Kuak Luar malam Khamis ekoran 4 buah kampung di Pengkalan Hulu dilanda banjir akibat hujan lebat lebih yang berterusan selama 3 jam hari Khamis.

Pembukaan PPS ke 5 di Perak itu dimaklumkan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Hulu Perak, Mohd Zairasyahli Shah Zakaria dalam kenyataan malam tadi.

Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak, seramai 40 orang dari 14 keluarga dipindahkan ke PPS berkenaan melibatkan 4 kampung terjejas iaitu Kampung Paya Kuak Luar, Kampung Bukit Serdang Air Panas, Kampung Kuak Tengah dan Kampung Raja Kayu.

Dengan itu, jumlah mangsa banjir di 3 daerah di Perak telah meningkat kepada 419 orang daripada 121 keluarga setakat pagi Jumaat, berbanding 379 orang dari 107 keluarga malam Khamis.

Seramai 171 orang daripada 50 keluarga ditempatkan di PPS Dewan Serbaguna Padang Tembak dan 51 orang daripada 14 keluarga di Dewan MPTI, kedua-duanya di daerah Hilir Perak.

Di daerah Kerian pula, 100 orang dari 24 keluarga ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan Changkat Lobak dan 57 orang dari 19 keluarga ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan Alor Pongsu.

Sementara itu, mengikut ramalan cuaca yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia), hujan dijangka berlaku di daerah Hilir Perak dan Hulu Perak pada petang dan malam hari ini (Jumaat).

PALING POPULAR

To Top