Umum

Siri libat urus KPM menyatakan UPSR menyekat peluang pelajar aktif bidang selain akademik

Gambar KPM

Dapatan awal siri libat urus Kementerian Pendidikan (KPM) menyatakan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) belum sesuai dikembalikan kerana ia menyekat peluang pelajar aktif dalam bidang selain akademik.

Menurut Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Pkharuddin Ghazali, dapatan awal menunjukkan masyarakat menginginkan pendidikan berasaskan nilai dijadikan keutamaan.

“Bila kita turun libat urus, kita tanya pelajar, guru, ibu bapa dan pemimpin. Rata-rata menyatakan UPSR ini belum sesuai kerana kita sekat keupayaan pelajar di peringkat rendah untuk aktif dalam bidang lain kerana kita fokus kepada akademik,” katanya kepada selepas program Bicara Inspirasi KPM hari Jumaat.

Beliau berkata demikian semasa mengulas isu pemansuhan UPSR yang mengundang pelbagai respons masyarakat.

Sebelum ini, dilaporkan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek menyatakan KPM bertegas tidak akan mengembalikan semula UPSR walaupun terdapat permintaan khusus dari ibu bapa yang mahu ia dikembalikan sebagai penanda aras pencapaian anak-anak mereka di peringkat sekolah rendah.

Kerajaan sebelum ini memutuskan untuk memansuhkan sepenuhnya UPSR bermula 2021 selepas hasil libat urus dengan pelbagai pihak sejak peperiksaan berkenaan dibatalkan susulan pandemik COVID-19.

Pkharuddin berkata konsep “Anak Yang Baik lagi Cerdik” (ABC) dapat mendidik modal insan berilmu dan berakhlak mulia.

Di samping itu, dalam melahirkan golongan yang mampu berdepan cabaran dunia tanpa sempadan, ia dapat membina karakter dan nilai moral dalam diri pelajar dari peringkat awal persekolahan.

“Kita bukan kata peperiksaan itu tidak baik, tetapi pada saat ini, membina karakter dan memasukkan nilai dalam diri pelajar itu lebih utama dalam cabaran semasa.

Dengan dunia tanpa sempadan, dengan gajet di tangan yang mana mereka boleh belajar dengan cepat, tetapi nilai itu tiada dalam diri mereka,” katanya.

Dalam ucapannya, beliau turut menasihati warga pendidik agar sentiasa memberikan perkhidmatan terbaik dalam mendidik pelajar selain mencuba sedaya upaya mengetengahkan potensi anak didik mereka bukan sahaja dalam akademik malah dalam aktiviti lain.

Pkharuddin akan bersara wajib pada 6 November ini.

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top