Umum

JKM sita Taska selepas bayi dipercayai alami pendarahan otak

Gambar JKM

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka mengeluarkan notis sita terhadap sebuah taman asuhan kanak-kanak (Taska) di Taman Pertam Jaya kerana dipercayai terbabit dalam kejadian bayi lelaki mengalami pendarahan otak.

Pengarah JKM Melaka, Zulkifli Hanifah berkata, tindakan itu diambil selepas siasatan yang dijalankan mendapati taska yang baru berpindah Ogos lalu di rumah teres berkembar itu tidak berdaftar.

Menurutnya, pemilik taska gagal mendaftarkan taska berkenaan di bawah JKM dan merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 6(1) Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984.

Jelasnya, kegagalan pihak taska mengemukakan bukti atau perakuan pendaftaran kepada JKM selepas tempoh 21 hari dari tarikh sitaan, membolehkan pihaknya mengambil tindakan lanjut.

“Taska terbabit sebelum ini beroperasi di lokasi lain dan berdaftar pada tahun 2021, namun selepas berpindah ke lokasi baharu mereka tidak mendaftarkan operasi taska.

“Mereka boleh dikenakan kompaun atau didakwa kerana gagal mengemukakan perakuan pendaftaran, lebih-lebih lagi bayi lelaki itu dilaporkan kritikal dan menerima rawatan di unit rawatan rapi hospital,” katanya pada hari Khamis

Media sebelum ini melaporkan, seorang bayi lelaki berusia 12 bulan mengalami pendarahan di kepala selepas tidak sedarkan diri ketika dalam jagaan di sebuah taska di Pertam Jaya.

 

PALING POPULAR

To Top