Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mengambil langkah serius untuk terus menjadikan Bahasa Melayu sebagai sebahagian daripada agenda penting pendidikan tinggi negara kerana ia selayaknya menjadi pemangkin yang memacu pemugaran atau pembaharuan sistem yang baik dalam diri masyarakat.
Menterinya Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata antaranya ialah pelancaran Pelan Tindakan Pemerkasaan Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Ilmu di Institut Pengajian Tinggi (IPT).
“Di bawah pelan tindakan itu, KPT bersetuju dengan saranan agar mata pelajaran umum universiti yang diwajibkan kepada pelajar antarabangsa boleh digantikan dengan Kursus Bahasa Melayu Komunikasi mengikut kesesuaian dan program pengajian di sesebuah universiti.
“Selain itu, usaha kementerian turut merangkumi penganugerahan tokoh bahasa, penubuhan kursi-kursi bahasa Melayu dan kerjasama erat dengan pelbagai institusi yang menawarkan pengajian berkaitan bahasa Melayu di seluruh dunia.
“Kesemua ini kita ikhtiarkan kerana kita yakin, bahasa Melayu mempunyai kekuatannya yang tersendiri dan kita mahu lebih ramai lagi yang mendalami bahasa Melayu sebagai bidang yang penting dan berpotensi,“ katanya semasa berucap merasmikan Pertandingan Akhir Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) 2023 kali ke-15 di Dewan Tuanku Syed Putra, Universiti Sains Malaysia (USM) di sini malam ini.
Mohamed Khaled berkata dalam mengangkat kedudukan bahasa Melayu dan prestij pengajian bidang itu, KPT turut mempunyai beberapa sasaran antaranya mahu menjadikan bahasa Melayu sebagai tarikan dan pengisian dalam menjayakan diplomasi pengetahuan.
Tambahan itu, Bahasa Melayu mesti menjadi bahasa yang sejagat dalam menyerlahkan sistem nilai yang baik khususnya dalam menterjemah agenda negara yang merentas kaum dan bangsa.
“Kita mahu mengangkat Bahasa Melayu sebagai bahasa yang ulung, bahasa ilmu, bahasa yang menjadi perantara dalam membicarakan idea-idea besar dan mengujakan. Bahasa yang memukau anak muda untuk berkarya. Bahasa yang mengundang bijak pandai untuk menggali ilmu dan paling penting, bahasa yang menjadi wahana penyatuan bangsa dan etnik yang rencam dalam sebuah persekitaran sosial yang harmoni,”ujarnya.
Mohamed Khaled berkata KPT juga menyambut baik ketegasan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahukan semua urusan bertulis dan persuratan rasmi kerajaan dilakukan dalam bahasa Melayu.
“Kita mahu masyarakat dunia melihat Bahasa Melayu dengan segala keunikannya. Pantun yang santun, madah nan indah, gurindam seribu langgam dan puisi yang sarat isi. Semua itu adalah seni dan seri bahasa yang menggambarkan keindahan serta kehalusan Bahasa Melayu. Bahasa adalah suri dan seri negara yang mempunyai kedudukan istimewa. Bukan sekadar menjadi pengisi Perlembagaan, tanpa menjadi amalan yang sebenar dalam segenap ruang dan disiplin,” katanya.