Umum

MMA bidas keputusan kerajaan tolak cadangan naik elaun “on call” doktor

Gambar Hiasan

Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) membidas kerajaan kerana menolak cadangannya untuk menaikan elaun ‘on-call’ bagi doktor.

Menurut laporan FMT, Presiden MMA Dr Azizan Abdul Aziz berkata tindakan kerajaan menolak serta-merta cadangan menaikkan elaun daripada kadar semasa RM9.16 sejam kepada RM25 adalah “tidak efisyen” dan “tidak peka”.

Menurutnya, maklum balas kementerian yang menyatakan bahawa RM9.16 sejam adalah kadar yang “bersesuaian” adalah satu penghinaan kepada bukan sahaja doktor tetapi semua petugas kesihatan.

“Adakah kerajaan sedar bahawa terdapat pelayan di negara ini yang mendapat bayaran setiap jam lebih tinggi daripada doktornya?” soalnya dalam suatu kenyataan.

Dalam menolak gesaan MMA untuk semakan semula elaun itu, kerajaan menyatakan bahawa ia terikat dengan pekeliling perkhidmatan 2019 oleh Kementerian Kewangan dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Dalam jawapan bertulis kepada MMA dua minggu lalu, Kementerian Kesihatan berkata kedudukan perkhidmatan lain berhubung elaun dan kedudukan kewangan negara juga perlu dipertimbangkan.

Turut dikatakan, surat jawapan itu menyebut kerajaan berkata ia berpandangan bahawa elaun ‘on-call’ semasa adalah sesuai kerana doktor menikmati banyak elaun lain.

Ini termasuk elaun perkhidmatan kritikal (RM750 sebulan), insentif pakar (dari RM2,200 hingga RM3,100 sebulan), dan elaun lokum untuk bekerja di luar tugas (RM80 sejam).

“Lain-lain ialah elaun pembedahan elektif (RM200 untuk pakar dan RM80 untuk pegawai perubatan sejam) dan untuk pentadbiran hospital (RM1,520 hingga RM2,480 sebulan, mengikut gred),” katanya.

Azizan juga menyifatkan kerajaan sebagai “tidak efisyen”, sambil mengeluh bahawa Kementerian Kesihatan mengambil masa 10 bulan untuk memberi maklum balas, susulan gesaan kenaikan elaun itu ketika sesi town hall diadakan.

Beliau turut berkata maklumat yang diberikan oleh kerajaan mengenai isu-isu terbabit mewujudkan persepsi yang salah kerana tidak semua doktor penjagaan kesihatan awam berhak mendapat elaun yang dinyatakan.

“Kelayakan pelbagai elaun itu bergantung kepada jawatan dan pangkat doktor.

“Kebanyakan doktor tidak menerima elaun yang dinyatakan dalam jawapan kerajaan.

“Sekiranya keputusan (untuk menolak kenaikan elaun ‘on-call’) dibuat tanpa merujuk kepada maklumat yang tepat, kami ingin meminta kerajaan menilai semula dan mempertimbangkan semula keputusannya berhubung cadangan kenaikan kadar itu,” katanya.

 

Sumber FMT

PALING POPULAR

To Top