Umum

PIBG MCKK buat laporan polis berkaitan isu buli yang tular

Gambar FB MCKK

Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Malay College Kuala Kangsar (MCKK) telah membuat laporan polis terhadap ketiga-tiga pemilik akaun media sosial berhubung hantaran di media sosial membabitkan institusi pendidikan itu.

Menurut peguam yang mewakili PIBG itu dan ahli keluarga pelajar, Hasshahari Johari Mawi, pihaknya telah mendapat arahan untuk meneruskan tindakan undang-undang terhadap kesemua mereka yang terlibat dengan isu tersebut.

“Peguam yang ada di sini telah mendapat arahan untuk meneruskan tindakan undang-undang memandangkan ada beberapa hantaran berunsur fitnah dan juga fakta tidak benar.

“Ia termasuk perintah tegahan (gag order) kepada beberapa hantaran yang telah dimuat naik di media sosial dan beberapa individu, dan pengguna di media sosial tersebut telah dikenal pasti,” katanya

Jelasnya, kes ini telah diselesaikan di peringkat sekolah, namun isutersebut telah ditularkan sehinggalah membawa kepada tindakan ini oleh PIBG.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media bersama beberapa ahli keluarga pelajar selepas membuat laporan polis di Balai Polis Travers di ibu negara pada Rabu.

Tambah Hasshahari, pihaknya juga telah mengenal pasti beberapa individu dan pengguna media sosial yang dipercayai menjadi punca perkara itu tular di laman sosial, sebelum menyatakan pihaknya menyerahkan kepada polis untuk meneruskan siasatan kes itu.

Sementara itu, wakil keluarga pelajar yang enggan namanya disiarkan, memaklumkan laporan polis itu dibuat susulan ugutan dan ancaman yang diterima oleh pelajar-pelajar MCKK berikutan penularan isu terbabit.

“Jadi kita berharap dengan laporan polis ini orang ramai akan berhenti mengeluarkan komen-komen berunsur fitnah terhadap pelajar-pelajar, ibu bapa dan guru-guru MCKK,” katanya.

Terdahulu, PIBG MCKK telah membuat satu kenyataan yang menyelar tindakan cubaan campur tangan ibu bapa dalam pengurusan sekolah berhubung satu kes buli melibatkan pelajar institusi itu.

Kenyataan tersebut turut menyatakan tindakan menularkan kes tersebut jelas PIBG MCKK, hanya memberi impak besar dan imej buruk kepada MCKK secara keseluruhannya.

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top