Umum

Ahli Parlimen Jeli pula isytihar sokongan kepada PM

Ahli Parlimen Jeli Zahari Kechik menjadi wakil rakyat Perikatan Nasional yang keempat mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkuatkuasa hari ini (Rabu).

Pengumuman Zahari menyusuli tindakan sama diambil Ahli Parlimen Kuala Kangsar Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid, Ahli Parlimen Labuan Suhaili Abdul Rahman dan Ahli Parlimen Gua Musang Mohd Azizi Abu Naim.

“Selepas meneliti, memperhalusi dan mempertimbangkan dengan sehabis baik tentang permasalahan yang dihadapi rakyat terkini mengenai kos sara hidup, himpitan mengenai keperluan asas yang perlu dipertingkatkan dan pembangunan yang mesti diteruskan dalam kawasan Parlimen Jeli, maka saya sebagai Ahli Parlimen Jeli dengan ini mengisytiharkan sokongan kepada kepimpinan Datuk Seri Anwar,” katanya.

Dalam kenyataan yang disiarkan di laman facebooknya, beliau menyokong PM Anwar bagi memastikan proses memberi khidmat kepada rakyat tidak terganggu dalam mendapatkan peruntukan daripada kerajaan pusat.

“Saya juga mengisytiharkan untuk menyokong sebarang dasar dan inisiatif yang kerajaan lakukan dalam memulihkan ekonomi negara serta meletakkan kebajikan dan kepentingan rakyat. Sokongan saya ini berterusan sehingga PRU yang seterusnya,” ujarnya.

Bagaimanapun, seperti yang 3 Ahli Parlimen sebelumnya, Zahari berkata, walaupun menyokong kerajaan pimpinan Anwar bagi mendapatkan peruntukan untuk rakyat di kawasannya, beliau kekal setia sebagai Ahli Parlimen Bersatu.

“Saya bersedia berdepan dan menerima risiko daripada tindakan disiplin parti demi memastikan pengundi dan rakyat dalam Parlimen Jeli tidak menjadi mangsa keadaan dan tidak ketinggalan menerima semua bentuk pembangunan dan bantuan daripada kerajaan pusat,” kata Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) itu.

Sebelum ini, Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin mengumumkan parti itu menggantung keahlian Iskandar selama empat tahun, manakala Suhaili digantung enam tahun kerana menyokong Anwar.

“Saya sedar rakyat mesti diutamakan dan pembangunan mesti diteruskan tanpa sebarang kompromi. Dalam alaf yang serba mencabar ini selaku Ahli Parlimen, saya harus memberi khidmat yang terbaik buat rakyat dalam Parlimen Jeli,” katanya menerusi kenyataan yang sama.

Jelasnya, pengisytiharan sokongan kepada Perdana Menteri itu dibuat tanpa apa-apa paksaan, pengaruh dan tekanan dari mana-mana pihak sebaliknya atas kerelaan beliau sendiri demi rakyat.

“Moga Allah S.W.T akan memberkati dan kepada Allah saya berserah,” katanya.

PALING POPULAR

To Top