Seorang wanita berusia 65 tahun dikatakan mendapat kematian yang mulia apabila dipercayai meninggal dunia ketika solat Asar di surau sebuah hotel Sungai Petani pada hari Sabtu.
Menurut laporan media, Latipah Yusof ditemui telah meninggal dunia oleh suaminya pada sekitar jam 6.30 petang setelah mendengar jeritan meminta tolong mengatakan terdapat seorang wanita terbaring ketika solat.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, sebaik menerima laporan berkenaan, anggota polis di hantar ke tempat kejadian.
Zaidy mendedahkan wanita itu yang berasal dari Kamunting, Perak berkunjung ke hotel berkenaan bersama suaminya untuk menghadiri satu majlis.
Katanya, hasil siasatan mendapati, pasangan suami isteri itu tiba di hotel tersebut pada waktu Asar dan terus ke surau hotel yang terletak di tingkat dua.
“Suami mangsa ketika itu sedang solat di bahagian lelaki dan ketika rakaat ketiga suami mangsa terdengar ada suara di bahagian solat wanita berkata, ada orang jatuh.
“Suami mangsa yang mengesyaki sesuatu terjadi pada isterinya terus ke ruang solat wanita dan terlihat isterinya sudah tidak sedarkan diri,” katanya dalam laporan Astro AWANI.
Menurut Zaidy, suami mangsa mengatakan isterinya mengadu tidak sihat dan semasa dalam perjalanan mangsa sering tidur.
Katanya, suami mangsa turut memaklumkan isterinya mempunyai sakit darah tinggi dan pernah menghidap ‘stroke’ serta mendapat rawatan di Hospital Ipoh sebelum ini.
“Siasatan polis mendapati tiada unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” ujarnya.