Umum

Pemuda Amanah rasa parti seperti diketepikan

Gambar Amanah

Pemuda Amanah berpendapat parti itu diketepikan pemimpin politik kerajaan hari ni dan menuntut agar parti itu lebih dihormati.

Menurut pemuda parti itu, Amanah sepatutnya “mendapat lebih” manakala seorang pemimpin parti mendakwa “parti ditolak lebih jauh” dalam rombakan Jemaah Menteri, baru-baru ini.

Selasa lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim melantik ahli parlimen Amanah, Dzulkefly Ahmad sebagai menteri kesihatan, jawatan pernah disandangnya dari 2018 hingga 2020.

Bagaimanapun, Armizan Ali daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dilantik menteri perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup, jawatan sebelum ini disandang Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub, sehingga beliau meninggal dunia Julai lalu.

Menurut laporan FMT, sumber daripada Pemuda Amanah berkata: “Kami bersama Pakatan Harapan (PH) sejak awal lagi dan merasakan kami dilayan seperti orang luar, sedangkan parti yang menyertai kerajaan perpaduan diberikan lebih”, katanya merujuk Umno.

Katanya, Umno dan GRS membayangi Amanah walaupun parti itu memainkan peranan penting menguasai 81 kerusi untuk PH pada PRU tahun lalu.

“Kebanyakan kami tentunya tidak gembira dengan situasi terbaru ini. Kami Pemuda merasakan jenama Amanah semakin malap, dengan rakyat mengaitkan parti dengan Mat Sabu (merujuk Presiden Mohamad Sabu) sahaja”.

Seorang pemimpin Pemuda dari Selangor berkata, parti sepatutnya menuntut lebih banyak jawatan jika mahu kekal relevan di mata rakyat pada PRU akan datang.

Seorang lagi pemimpin Pemuda berkata, parti sangat memerlukan barisan pimpinan baharu untuk “menyelamatkan parti daripada suram”.

“Kami bukan menentang pimpinan sedia ada, tetapi kami merasakan parti tidak bergerak dan maju. Demi maju dan terutama mendapat sokongan orang muda, kami perlukan muka baharu ambil alih,” kata seorang pemimpin Negeri Sembilan.

Katanya, pimpinan yang ada tidak fokus kepada masa depan parti dan mendakwa mereka hanya ingin melindungi kepentingan masing-masing.

Seorang pemimpin Pemuda Pahang mendakwa, pimpinan tidak berbuat apa bagi menarik orang muda. “Satu-satunya pemimpin yang rakyat tahu adalah presiden parti, itu pun sebab jenakanya.”

Ketiga-tiga pemimpin berkenaan mendakwa ahlinya berpandangan Amanah semakin malap dan memerlukan barisan pimpinan baharu.

Seramai 124 calon akan bertanding merebut 27 jawatan dalam pemilihan pada Konvensyen Nasional Amanah 2023 pada 23 hingga 24 Dis ini di Klang.

 

 

Sumber FMT

PALING POPULAR

To Top