Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah mengarahkan restoran berputar terkenal Atmosphere 360 untuk mengosongkan premis yang disewanya di Menara KL sebelum 4 Januari 2024.
Perintah pengosongan itu dimohon oleh Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd dan pemiliknya ketika ini Hydroshoppe Sdn Bhd terhadap pemilik restoran, Asian Kitchen (M) Sdn Bhd.
Menurut laporan FMT, Ketua Pegawai Eksekutif Asian Kitchen Ringo Kaw telah mengesahkan penutupan itu dan memberitahu mereka terkejut sebaik menerima notis berkenaan.
“Notis Mahkamah Tinggi diterima semalam dan mengarahkan kami tutup, ada ramai pelanggan pada masa itu.
“Sambutan Krismas dan Tahun Baru hampir tiba dan tempahan kami telah dilanjutkan ke tahun depan.
“Jadi kami tiada pilihan selain menawarkan bayaran balik kepada pelanggan, diharap pihak berkuasa dapat melayan kami dengan adil,” katanya.
Kaw turut mendedahkan pihaknya telah membawa perkara tersebut ke mahkamah kerana pengambilalihan menara itu sedang disiasat SPRM.
Asian Kitchen kemudiannya memfailkan saman terhadap Menara KL dan Hydroshoppe memohon pengisytiharan perpindahan saham daripada pengurusan terdahulu iaitu Telekom Malaysia (TM) adalah terbatal dan tidak sah.
Hydroshoppe kemudiannya memfailkan permohonan memasukkan penghakiman ringkas terhadap restoran itu, bagi pengisytiharan bahawa perjanjian penyewaan antara Asian Kitchen dan Menara KL telah tamat pada 30 Jun.
Mahkamah kemudiannya membuat keputusan memihak kepada Menara KL dan Hydroshoppe, menyebabkan Atmosphere 360 perlu mengosongkan unit itu.